SINGAPURA - Rakyat Malaysia Lingkesvaran Rajendaren yang disabitkan kesalahan mengedar dadah pada 2018 menjalani hukuman mati di Singapura pada Rabu dan ia disahkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) republik itu.
"Hukuman mati ke atas Lingkesvaran Rajendaren telah dilaksanakan pada 11 Februari lepas. Lingkesvaran diberikan proses perundangan yang sewajarnya dan diwakili peguam semasa perbicaraan serta rayuannya,” menurut CNB dalam satu kenyataan pada Khamis.
Lingkesvaran, 33, disabitkan kesalahan mengedar tidak kurang daripada 52.77 gram diamorphine dan dijatuhi hukuman mati pada 15 Oktober 2018.
Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Mac 2019.
"Susulan penolakan rayuannya, Lingkesvaran terlibat dalam lapan permohonan selepas rayuan. Semua permohonan itu telah ditolak atau diselesaikan,” menurut CNB.
Petisyen Lingkesvaran kepada Presiden bagi mendapatkan pengampunan juga tidak berjaya.
CNB turut memaklumkan bahawa pada 9 Februari lepas, peguam Lingkesvaran memfailkan saman sivil yang mendakwa berlaku salah laku, kecuaian dan/atau keingkaran oleh pegawai awam dalam Perkhidmatan Penjara Singapura.
Menurut CNB, peguamnya turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu saman sivil itu, namun permohonan berkenaan ditolak Mahkamah Rayuan. - Bernama