Hutang kereta api Whoosh akan dibayar guna wang negara

Iklan
Prasetyo Hadi (gambar kecil) mengesahkan bahawa pembayaran hutang projek kereta api laju Jakarta-Bandung (Whoosh) akan menggunakan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN).

JAKARTA – Menteri Sekretaris Negara Indonesia, Prasetyo Hadi, mengesahkan bahawa pembayaran hutang projek kereta api laju Jakarta-Bandung (Whoosh) akan menggunakan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN), mengikut laporan detik.com.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan teknikal mengenai pelaksanaannya masih belum diputuskan dan berada dalam peringkat rundingan lanjutan antara kerajaan dan syarikat konsortium, Danantara.

Iklan
Iklan

“Ya, hutang Whoosh akan dibayar menggunakan APBN,” kata Prasetyo ringkas ketika ditemui di Stesen Gambir, Jakarta, pada Selasa.

Projek Whoosh, bernilai 121 trilion rupiah (RM30 billion), sebahagian besarnya dibiayai oleh China Development Bank yang menanggung kira-kira 75 peratus daripada jumlah kos pembinaan

Iklan

Isu pembiayaan kembali hangat selepas Presiden Prabowo Subianto menegaskan kerajaan bersedia menanggung kewajiban projek termasuk pembayaran hutang tahunan sekitar 1.2 trilion rupiah (RM280.6 juta).

Presiden menekankan projek ini memberi manfaat awam yang signifikan, antaranya mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, dan memacu alih teknologi.

Iklan

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, sebelum ini menyuarakan pendirian berbeza, menyatakan kerajaan sebaiknya tidak menggunakan APBN.

Purbaya menambah bahawa belum ada keputusan muktamad mengenai pembahagian tanggungjawab antara kerajaan dan Danantara, di mana kerajaan akan menumpukan aspek infrastruktur, manakala Danantara mengurus operasi dan kenderaan kereta laju.

Seiring itu, Ketua Operasi Danantara, Dony Oskaria menegaskan, bahawa proses penstrukturan kewangan projek akan dilakukan mengikut arahan Presiden.

Kerajaan akan mengurus kewajiban berkaitan infrastruktur, sementara Danantara memberi fokus kepada memaksimumkan operasi perkhidmatan kereta laju.

Projek kereta api laju Whoosh kini menjadi perhatian ramai kerana kosnya yang tinggi dan implikasi penggunaan dana negara.

Dengan keputusan kerajaan menggunakan APBN, rakyat diharap memahami bahawa langkah ini diambil bagi memastikan kesinambungan projek berskala besar yang memberi impak kepada mobiliti awam, ekonomi, dan teknologi negara.-Agensi