Ubat pahit sembuhkan Malaysia

Iklan
Anwar dan menteri Kabinet yang dipimpinnya perlu lebih banyak berusaha memperbaiki komunikasi dengan rakyat.

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil dengan program audio siar, Yang Berhenti Menteri selepas meletakkan jawatan dalam Kabinet.

Dalam siaran pertama, beliau banyak menceritakan sebab-sebab mengambil keputusan tersebut termasuk menjawab kritikan beberapa pihak.

Iklan
Iklan

Ada yang mengatakan beliau seorang yang cepat merajuk, tidak setia dengan parti dan sebagainya - semua itu dijawab dengan panjang lebar.

Dalam siri kedua rakaman tersebut, Rafizi mengkritik Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dikatakan ‘tidak melakukan apa-apa’ sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Namun Fadhlina menjawab sindiran tersebut dengan menyatakan semua reformasi dan dasar utama Kementerian Pendidikan (KPM) telah dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat Kabinet dengan pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita tinggalkan perbalahan antara mereka. Satu hal yang menarik tentang kritikan Rafizi ialah pentingnya menteri-menteri Kabinet ada ruang khas untuk sentiasa menerangkan inisiatif dan pencapaian kepada rakyat pada setiap masa.

Iklan

Perkara ini bukan sahaja dilakukan Rafizi pada setiap masa, malah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga jaguh dalam memberi penerangan kepada rakyat. Kaedah yang beliau lakukan unik dan mampu menarik perhatian banyak pihak serta meningkatkan imejnya.

Jadi, agak malang jika banyak inisiatif yang dilakukan oleh menteri-menteri lain tidak dimaklumkan kepada rakyat, ia akan menimbulkan persepsi bahawa mereka seperti tidak melakukan apa-apa.

Mungkin amalan untuk membentangkan kad laporan pencapaian perlu dibuat setiap masa - kalau tidak sebulan, buatlah tiga bulan sekali. Sekurang-kurangnya menteri tidak lagi dituduh “tidak melakukan apa-apa” oleh mana-mana pihak.

Ini samalah seperti yang pernah dikata orang dahulu, bohong yang berulang-ulang akan jadikan sesuatu pembohongan itu bertukar nyata atau benar. Tetapi pencapaian adalah sesuatu yang benar dan beri manfaat - ia akan jadi bukti kehebatan dan kemampuan organisasi serta individu.

Zaman sekarang bukan lagi seperti dahulu yang naratif dan cerita boleh ditentukan mengikut kehendak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang mentadbir negara selama 22 tahun dari 1981 sampai 2003. Suara pembangkang cuma suam-suam kuku dan media memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan. Waktu itu hendak guna internet kena pakai modem dan dail 1515, dengan kelajuan yang amat perlahan serta guna Window 95.

Namun beliau berjaya mencipta legasi tersendiri sehingga kembali menjadi Perdana Menteri lagi pada tahun 2018 sehingga 2020.

Tun Abdullah Ahmad Badawi pula cuma berjaya jadi Perdana Menteri selama satu penggal. Penggal seterusnya, beliau terpaksa melepaskan jawatan apabila Barisan Nasional (BN) kalah teruk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Pak Lah letak jawatan pada 2009 selepas dapat tekanan banyak pihak termasuk daripada Dr Mahathir. Ada dakwa Pak Lah tumbang sebab waktu itu zaman blog bermaharajalela, ramai penulis-penulis hantu memainkan sentimen dan memanaskan suhu politik negara.

Kemudian Datuk Seri Najib Tun Razak ambil alih kepimpinan negara dan selepas itu memerintah selama dua penggal. Banyak juga kejayaan-kejayaan Najib disebut-sebut orang sampai ke hari ini.

Namun PRU14 jadi sejarah hitam untuk Najib dan BN yang kalah lebih teruk dan tumbang selepas puluhan tahun memerintah.

Waktu ini zaman media sosial benar-benar berada pada waktu puncak sehingga imej kerajaan pimpinan Najib kelihatan sirna sekali. Kerajaan yang dibentuk selepas itu hayatnya tidak panjang, tetapi Anwar berjaya lepasi tempoh kerajaan sebelum ini.

Beliau ada masa kurang 30 bulan lagi untuk mempersiapkan pasukannya jika mahu mendapatkan mandat untuk penggal seterusnya. Cuma pada masa ini, banyak keputusan-keputusan tidak popular tetapi penting untuk dilakukan dan terpaksa dibuat oleh Anwar.

Sekarang tugas dan tanggungjawab besar pasukan beliau untuk meyakinkan rakyat bahawa keputusan tidak popular itu ubat pahit yang mampu sembuhkan Malaysia.

Kesimpulannya, Anwar dan menteri Kabinet yang dipimpinnya perlu lebih banyak usaha perbaiki komunikasi dengan rakyat. Tanpa komunikasi yang bagus memang mudah persepsi-persepsi buruk terus berlegar-legar.

Tetapi kadangkala ia juga adalah satu hakikat pahit yang sukar untuk ditelan dan dihadam.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian