AKUATIK Malaysia (MAS) wajar mencongak formula terbaik untuk menggilap perenang versatil termasuk menghantar mereka berkelana ke luar negara, di sebalik impian untuk memburu perenang warisan.
Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, Malaysia memiliki perenang berkualiti, namun mereka kurang didedahkan dengan pertandingan kompetitif bertaraf tinggi di luar negara.
“Sukma (Sukan Malaysia) juga dilihat kurang membantu walaupun ada yang mampu menang lima hingga enam pingat, malah ada perenang yang menang tujuh emas, tetapi selepas itu nama atlet berkenaan ‘hilang’.
“Sebenarnya, perenang kita bukan tiada kualiti, tetapi mereka perlu berlatih dan bertanding di luar negara. Tiap-tiap hari berlatih di sini (Bukit Jalil), semua perenang boleh.
“Kalau ada pertandingan pun, cuma mengikut peringkat umur atau lebih besar seperti Terbuka Selangor dan Terbuka Wilayah. Di mana pertandingan yang kompetitif?” soalnya kepada Sinar Harian.
MAS, menerusi Timbalan Presidennya, Marilyn Chua akan memperhebat usaha mengenal pasti perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut diguna pakai oleh Singapura.
Beliau berkata, usaha tersebut membabitkan pencarian bakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan program renang negara.
Justeru, Zainal Abidin berharap perenang negara diberi peluang untuk menimba pengalaman di negara kuasa besar renang seperti Amerika Syarikat dan Australia.
Beliau berkata, perkara itu boleh dilaksanakan menerusi program latihan jangka panjang atau melanjutkan pelajaran di luar negara, yang mungkin boleh dijayakan melalui kolaborasi bersama rakan strategik daripada sektor swasta menerusi penajaan.
“Perenang sensasi negara era 80-an, Nurul Huda Abdullah dan Jeffrey Ong berpangkalan di luar negara.
“Tiap-tiap minggu ada pertandingan, jadi mereka sudah siapkan diri untuk menyertai mana-mana kejohanan apabila diperlukan seperti Sukan Asia dan Sukan SEA,” katanya.
Sebagai rekod, Nurul Huda berlatih di Australia pada usia 11 hingga 13 tahun.
Beliau merupakan perenang paling berjaya negara apabila mengumpul 22 pingat emas dalam tiga edisi Sukan SEA bermula 1985 hingga 1989.
Jeffrey pula berlatih di Devon, England, dan sepanjang penglibatannya sebagai perenang dari 1987 hingga 1993, beliau meraih sembilan pingat emas Sukan SEA, selain dua kali layak secara merit ke Sukan Olimpik pada edisi 1988 dan 1992.