Piala Malaysia: JDT selangkah ke separuh akhir selepas benam Melaka FC 5-0

Iklan
Pemain JDT, Oscar Aribas Pasero (tengah) berjaya melepaskan tandukan tanpa dikawal pemain Melaka FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto: Bernama

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Melaka FC 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan Ajdin Mujagic hasil sepakan penjuru Hector Hevel.

Iklan
Iklan

Penyerang kelahiran Bosnia itu terus menjadi duri dalam daging kepada pelawat apabila menggandakan jaringan tiga minit kemudian selepas menyempurnakan sepakan percuma Hevel untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Tersentak dengan dua jaringan awal JDT, Melaka FC cuba bangkit dan hampir merapatkan jurang pada minit ke-11, namun rembatan Simen Alexander Lyngbo tersasar.

Iklan

Percubaan jarak jauh Dino Kalesic pada minit ke-20 pula mudah dikawal penjaga gol JDT Christian Abad Amat.

Penyerang berbisa, Bergson da Silva turut berpeluang menambah jaringan untuk Harimau Selatan pada minit ke-40, namun tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Melaka FC Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa.

Iklan

Memasuki babak kedua, skuad bimbingan Xisco Munoz terus mengasak gawang lawan dan hasilnya, Mujagic berjaya melengkapkan hatrik pada minit ke-61.

Melaka FC terus berputih mata apabila JDT melebarkan jurang jaringan menerusi Manuel Hidalgo yang menambah gol pada minit ke-72.

Marcos Guilherme yang bijak menggelecek untuk melepasi halangan Muhammad Haziq Aiman, menyempurnakan jaringan kelima tiga minit kemudian sekali gus memastikan dominasi mutlak tuan rumah.

Juara bertahan itu hampir menambahkan derita skuad bimbingan E. Elavarasan menerusi Teto Martin, namun beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan kekal 5-0 sehingga tiupan wisel penamat.

Bekalan selesa yang diraih meletakkan Harimau Selatan semakin hampir ke separuh akhir, dengan aksi kedua suku akhir bertemu Melaka dijualkan pada 25 Februari ini. - Bernama