SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil maklum akan kebimbangan dibangkitkan beberapa pihak termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) berhubung kesejahteraan mahasiswa susulan pelaksanaan semakan tarif elektrik berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Menurut TNB, sebagai pembekal tenaga utama negara, pihaknya sentiasa peka terhadap keperluan pengguna daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar.
"Sebahagian besar mahasiswa termasuk dalam kategori pengguna domestik yang merupakan lebih 23 juta isi rumah di seluruh negara dan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif.
"Ini bermakna, bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman tidak akan mengalami sebarang kenaikan tertakluk kepada corak penggunaan mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan, Gamis menyerahkan memorandum khas kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, memorandum itu diterima oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK), Zainudin Suleiman.
Dalam masa sama, TNB menjelaskan, Insentif Cekap Tenaga turut diberi kepada pengguna domestik yang mencatat penggunaan bawah 1,000 kWj sebulan bagi menggalakkan amalan penjimatan tenaga dan mengurangkan bil bulanan mereka.
"Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos, tetapi turut menyokong matlamat tenaga mampan negara.
"Di samping itu, pelaksanaan skim Masa Pengunaan (Time of Use - ToU) membolehkan pengguna termasuk mahasiswa menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.
"Sebagai contoh, penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, pendingin hawa atau komputer boleh dijadualkan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah," katanya.
Tambah TNB, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain turut ditawarkan rebat 10 peratus.
Ujarnya, rebat sama turut diberikan kepada rumah kebajikan dan rumah ibadat.
"Rebat ini adalah langkah langsung untuk membantu institusi pendidikan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap, sekali gus mengelakkan sebarang implikasi kos yang boleh membebankan pelajar.
"Program Rebat Bil Elektrik RM40 iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem eKasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM)," katanya.
Menurutnya, ia termasuk keluarga pelajar daripada golongan B40 yang mungkin turut menerima manfaat secara tidak langsung melalui bantuan tersebut, sekali gus mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam melindungi sektor pendidikan dan golongan yang memerlukan.
"Sebagai rakan pembangunan negara, TNB komited untuk memastikan kebajikan rakyat termasuk pelajar terbela dan pada masa yang sama melaksanakan pembaharuan sistem tenaga secara mampan dan bertanggungjawab," katanya.