SHAH ALAM – Hasrat seorang anak untuk melihat ibunya tinggal di rumah yang selesa akhirnya tertunai, namun takdir menentukan dia hanya sempat menghuni rumah tersebut selama tiga hari sebelum pergi buat selamanya.
Kisah meruntun jiwa itu dikongsikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang menjelaskan bahawa pemuda bernama Nazim menyimpan impian sejak sekian lama untuk membaiki rumah ibunya, Mak Embun, yang semakin uzur.
“Selama ini, Nazim berniat untuk baiki rumah ibunya supaya ibunya boleh hidup dengan selesa kerana pintu, dinding dan atap rumah sudah reput dan bocor.
“Nazim bekerja keras untuk kehidupan yang lebih baik. Malangnya, April lalu, dia diserang angin ahmar,” katanya pada Khamis.
Menurut beliau, ketika Nazim dibenarkan pulang dari hospital, kakaknya memohon penangguhan kerana keadaan rumah yang terlalu usang dibimbangi akan memburukkan lagi kesihatan adiknya.
“Asalnya, keluarga mereka terpaksa berhutang dengan kontraktor untuk membaiki rumah itu. Namun, sebab sudah tidak tahan, mereka meminta bantuan daripada pejabat saya.
“Melihat keadaan rumah mereka, saya terus bersetuju. Saya beritahu kontraktor bahawa hutang lama saya akan selesaikan, dan saya minta supaya kerja penambahbaikan dibuat agar rumah itu benar-benar selesa untuk Nazim dan Mak Embun,” katanya.
Steven turut mengarahkan agar kerja baik pulih diberi keutamaan memandangkan masa yang begitu mendesak.
“Syukur, dalam masa seminggu, rumah tersebut siap dibaiki. Nazim pulang ke rumah bersama ibunya, namun takdir tidak dapat dielakkan, Nazim hanya sempat tinggal di rumah berkenaan selama tiga hari sahaja.
“Saya mendapat berita sedih daripada kakaknya bahawa Nazim telah meninggal dunia,” katanya lagi.
Steven berkata, beliau sempat menziarahi Mak Embun dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga berkenaan.
“Sebak saya dibuatnya. Saya beritahu keluarga mereka, sekurang-kurangnya Nazim telah menunaikan impian untuk menyediakan rumah yang lebih baik buat ibunya dan sempat tinggal bersama walaupun hanya seketika. Tuhan jua Yang Maha Merancang. Saya doakan agar Mak Embun sekeluarga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Menurut beliau, arwah juga merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Saya maklumkan kepada Mak Embun bahawa anaknya itu walaupun sudah tiada, tetapi dia akan tetap menjaga ibunya melalui pencen penakat setiap bulan.
“Saya juga telah menyerahkan RM3,000 wang khairat kematian daripada PERKESO kepada Mak Embun. Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan beban keluarga,” katanya sambil memaklumkan bahawa pihaknya akan terus membantu keluarga berkenaan.