SHAH ALAM - Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai antara negara pembentang utama di Persidangan Regulating for Decent Work (RDW) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland susulan usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Akta Pekerja Gig 2025.
Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kertas pembentangan itu memperincikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), sebuah badan nasional yang khusus untuk mengkoordinasi hal berkaitan perlindungan sosial, penyelesaian pertikaian industri, pembangunan data pekerjaan serta memperkukuh suara pekerja gig secara sistematik.
"Pendekatan yang diketengahkan ini dianggap unik oleh para pemerhati kerana ia mencadangkan pembentukan satu rangka legislatif baharu yang khusus, bukan sekadar pindaan kecil kepada undang-undang buruh sedia ada.
"Ia mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memacu keadilan pekerjaan untuk kumpulan pekerja tidak formal yang semakin berkembang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pembentangan itu turut disertai Setiausaha MyGIG, Fairuz Jamaluddin melalui pembentangan kertas kerja bertajuk Strengthening Labour Institutions to Address Gig Economy: A Case Study on the Establishment of the Malaysian Gig Economy Commission (SEGiM).
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Malaysia sudah menghantar wakil ke Geneva, Switzerland untuk berkongsi pengalaman dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam menggubal undang-undang baharu berkaitan ekonomi gig.
Beliau berkata, ia selepas mempertimbangkan hasrat pertubuhan itu untuk mempelajari pengalaman Malaysia yang menjadi satu-satunya negara merangka perundangan khusus bagi memantau keseluruhan ekosistem ekonomi berkenaan.
Tambah Mohd Sharkar, pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid kerana memberi kepercayaan bagi membentangkan kertas kerja utama tersebut di mana ILO berminat untuk mempelajari kaedah Malaysia menyelesaikan isu industri gig.
Kata beliau, cadangan model SEGiM menerima sambutan positif daripada ILO dan beberapa negara membangun yang turut berhadapan cabaran sama dalam membina ekosistem ekonomi digital lebih adil.
"Beberapa delegasi antarabangsa menyatakan minat untuk mengkaji pendekatan Malaysia sebagai rujukan dalam pembangunan dasar nasional mereka.
"Ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi satu isyarat bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam usaha memperkasa golongan pekerja gig," katanya.
Jelas Mohd Sharkar, penyertaan Malaysia di RDW 2025 bukan hanya simbolik sebaliknya mencerminkan kesungguhan negara dalam memastikan tiada golongan pekerja yang tertinggal dalam perlindungan dasar sosial.
Menurutnya, pekerjaan gig bukan lagi fenomena sampingan namun sudah menjadi realiti dominan bagi sebahagian besar tenaga kerja muda dan bebas.
"Dengan sokongan berterusan pelbagai pihak termasuk kerajaan, MyGig dan pelbagai badan berkaitan, usaha ini diharap akan diterjemahkan kepada pembentukan SEGiM dalam masa terdekat.
"Inisiatif ini dilihat sebagai batu loncatan kepada landskap pekerjaan yang lebih adil, mampan dan inklusif di Malaysia," katanya.
Persidangan tersebut disertai lebih 500 peserta dari 69 buah negara turut menjadi medan intelektual bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan keadilan sosial, perlindungan pekerja serta amalan kerja yang adil dalam landskap ekonomi global yang semakin dipacu oleh automasi, digitalisasi dan kebangkitan ekonomi gig.
Ia turut menampilkan lebih 250 pembentangan kertas kerja bertemakan pekerjaan yang bermaruah, satu konsep mencakupi hak asasi buruh, keselamatan sosial dan peluang pekerjaan yang adil untuk semua.