Pelajar cemerlang SPM raih 10A hampir terpaksa lupakan impian ke universiti

Iklan
Siti Nur Aisyah (tiga dari kanan) menerima kunjungan wakil UUM di rumahnya di Pasir Mas, Kelantan. Foto UUM

SINTOK - Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A hampir terpaksa melupakan impian melanjutkan pelajaran ke universiti akibat kekangan kewangan yang dihadapi keluarganya.

Siti Nur Aisyah Mat Nawi, 18, anak bongsu daripada tiga beradik yang kehilangan bapa, tular di media sosial selepas kisahnya yang terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian ke peringkat Asasi mendapat perhatian ramai.

Iklan
Iklan

Prihatin dengan nasib remaja berkenaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan keperluan pengajian bagi memastikan Aisyah dapat meneruskan impiannya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, bantuan yang diberikan termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian, komputer riba, kemudahan perjalanan ke kampus, penginapan sementara untuk keluarga serta bantuan kewangan tambahan.

Iklan

“Universiti amat prihatin terhadap kebajikan pelajar, lebih-lebih lagi mereka yang berpotensi besar tetapi berdepan kekangan kewangan.

“Aisyah merupakan simbol harapan dan ketabahan generasi muda. Kami mahu memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana kesempitan hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Lawatan khas ke kediaman Siti Nur Aisyah di Pasir Mas, Kelantan turut disertai barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM termasuk Yang Dipertua, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain; Setiausaha Agung, Nurulain Nabila Mohd Hanif dan Timbalan Naib Yang Dipertua, Nur Anissa Adyani Mohd Norhisham.

Sementara itu, Mohamad Amar berharap bantuan yang disalurkan menjadi pembakar semangat buat Aisyah untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim bersama kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO yang turut menyampaikan sumbangan peribadi dan berjanji akan menyalurkan bantuan berterusan sepanjang tempoh pengajian Aisyah.

Langkah ini mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan pelajar berpotensi tinggi tidak tercicir hanya kerana faktor kewangan.

Siti Nur Aisyah yang kelihatan terharu mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasibnya.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. Terima kasih kepada UUM dan semua yang membantu,” katanya.