[VIDEO] Jovian Mandagie diisytihar bankrap, gagal bayar pinjaman persahabatan RM5.28 juta

Iklan

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) di sini pada Khamis mengisytiharkan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie sebagai muflis kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.

Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli membuat keputusan tersebut selepas membenarkan petisyen pemiutang yang dikemukakan oleh syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 November tahun lalu.

Iklan
Iklan

Berdasarkan petisyen itu, Jovian yang juga bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, didakwa telah melakukan perbuatan kebankrapan apabila gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024.

Petisyen berkenaan menyatakan bahawa usahawan itu berhutang kepada Cekap Air sebanyak RM5,284,340.66 termasuk faedah setakat tarikh tersebut, jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024 melalui saman utama.

Iklan

Sementara itu, peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat berkenaan berkata, Notis Kebankrapan dikeluarkan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus berkenaan.

Jovian Mandagie diisytihar sebagai muflis kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.

Iklan

“Selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, kami memfailkan Petisyen Pemiutang yang kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah hari ini.

“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan, tetapi ia ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Pada 2 April 2024, Mahkamah Tinggi memerintahkan Jovian membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan permohonan penghakiman terus oleh syarikat berkenaan.

Syarikat terbabit sebelum ini memfailkan saman terhadap Jovian pada 16 Mei 2023 kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Dalam penyataan tuntutan, Cekap Air mendakwa Jovian adalah kenalan kepada Pengarah syarikat, Yong Zhen Wei, dan telah meminjam wang tersebut secara lisan pada 25 Februari 2022.

Wang tersebut kemudiannya dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian, dan firma itu mengesahkan penerimaan wang atas arahan defendan.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus berhubung saman utama dijadualkan untuk didengar pada 15 September ini.

Pada 11 Julai 2024, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan pereka fesyen itu membayar RM10 juta kepada dua syarikat dalam kes saman melibatkan pinjaman persahabatan.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan tersebut pada 2 dan 4 April selepas membenarkan permohonan penghakiman terus oleh Cekap Air Sdn Bhd dan sebuah lagi syarikat.