Akauntan didakwa tinggalkan dua anak OKU tanpa pengawasan

Iklan
Thaha dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Seorang akauntan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meninggalkan dua anak orang kurang upaya (OKU) tanpa pengawasan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Tertuduh, Thaha Abdul Latef, 39, sebagai seorang bapa kepada kanak-kanak lelaki autisme berusia 10 tahun dan kanak-kanak perempuan buta berusia 12 tahun didakwa meninggalkan mereka tanpa menyediakan keperluan mencukupi untuk pengawasan berpatutan.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu dilakukan di Elmina Valley Seksyen U16 pada jam 4 petang, 15 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal mencadangkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengurangkan kadar jaminan dengan alasan anak guamnya menyara empat anak termasuk kedua-dua mangsa.

Iklan

Thaha (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan meninggalkan anak autisme dan buta tanpa pengawasan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis.

“Dua anak ini merupakan hasil perkahwinan terdahulu sementara dua lagi hasil pernikahan kedua dengan seorang doktor pakar.

“Saya mohon dikecualikan syarat tambahan tidak mengganggu kedua-dua mangsa kerana mahkamah syariah memberi kebenaran kepada tertuduh berjumpa dengan mereka setiap Jumaat dan Sabtu antara jam 9 pagi hingga 9 malam," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Norazlin Othman membenarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 4 September depan.