Bekas jaguh lumba basikal didakwa amang seksual pelatih bawah umur

Iklan
Seorang bekas pelumba basikal yang pernah menyertai LTdL mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih perempuan tahun lalu.

AMPANG - Seorang bekas pelumba basikal lebuh raya negara yang pernah menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih berbasikal perempuan tahun lalu.

Nor Effandy Rosli, 58, yang juga jurulatih berbasikal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih berbasikal, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja yang ketika kejadian berumur 15 tahun 9 bulan.

Kesalahan didakwa dilakukan di stor simpanan basikal di medan selera Taman Desa Keramat di sini pada jam 6 petang Jun tahun lalu.

Iklan

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Iklan

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Hamdan Hamzah yang mewakili bekas atlet berbasikal kebangsaan itu memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung anak-anak sementara isteri tidak bekerja.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

“Tertuduh juga dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes,” katanya yang menetapkan 1 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Untuk rekod, Nor Effandy pernah mewakili negara dalam LTdL selama 10 tahun berturut-turut bermula 1996 hingga 2005 selain pemegang pingat perak Sukan Komanwel 1998 acara 184 kilometer (km).