Jurutera didakwa minta suapan RM13,000

Iklan
Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang pengarah syarikat tiga tahun lalu.

BUTTERWORTH – Seorang jurutera mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan meminta suapan sebanyak RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Rizal Salim, 40, membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini pada Khamis.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta suatu suapan untuk diri sendiri iaitu wang berjumlah RM13,000 daripada Pengarah Syarikat HHSB Enterprise, Toh Kean Hin.

Ia sebagai dorongan kepada tertuduh selaku pegawai awam iaitu Jurutera Awam Gred J41 yang bertugas di Pejabat Jurutera Daerah, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Barat Daya, Pulau Pinang untuk meluluskan kerja-kerja perolehan di jabatan tersebut kepada perniagaan-perniagaan yang digunakan oleh pengarah syarikat berkenaan.

Iklan

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Iklan

Mohamed Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jurutera Daerah, JPS Barat Daya pada 25 Mac 2022.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail.

Noor Azura menawarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan dua syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Aqmarul kemudiannya memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan kerana anak guamnya mempunyai banyak tanggungan termasuk ibunya yang sedang sakit.

“Anak guam saya berpendapatan RM6,000 sebulan dan perlu menanggung isterinya yang tidak bekerja serta empat anak berusia antara dua hingga 11 tahun.

“Dia juga membayar sewa rumah sendiri sebanyak RM1,300 dan RM450 untuk rumah ibunya. Selain itu, tertuduh menanggung ibunya yang menghidap kanser rahim dan kencing manis.

“Tertuduh juga sedang membayar ansuran pinjaman peribadi yang dibuat sejak 2022 untuk perubatan ibunya. Oleh itu, saya mohon agar jumlah jaminan dikurangkan,” katanya.

Hakim Zulhazmi kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan membenarkan dua syarat tambahan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Difahamkan, tertuduh telah membayar wang jaminan tersebut.

Kes ditangguhkan sehingga 8 Ogos untuk sebutan semula.