PASUKAN bola sepak wanita kebangsaan meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tajikistan dalam aksi sengit di Stadium Republican Central, Dushanbe pada Khamis.
Berbekalkan kejayaan 1-0 ke atas Palestin sebelum ini, skuad kendalian Joel Cornelli tampil bertenaga sejak wisel permulaan, melancarkan beberapa siri serangan awal dalam usaha memburu jaringan pantas.
Namun, tuan rumah yang ingin menebus maruah selepas dimalukan Korea Utara 0-10, tidak mudah menyerah dan memberi tentangan sengit sepanjang permainan.
Barisan serangan mereka beberapa kali mencemaskan kubu negara, namun ketangkasan penjaga gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan menjadi benteng ampuh dengan beberapa aksi menyelamat berkelas dunia.
Kemenangan berharga itu akhirnya diraih menerusi jaringan lewat permainan apabila Henrietta Justine menanduk masuk hantaran lintang cantik daripada Intan Sarah Anisah Zulgafli pada minit ke-91, sekali gus memastikan tiga mata milik Malaysia.
“Separuh masa pertama agak sukar untuk menembusi pertahanan lawan. Namun kami meningkatkan intensiti permainan pada babak kedua dan usaha membuahkan hasil," kata Intan Sarah Anisah selepas perlawanan.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengumpul enam mata maksimum selepas dua perlawanan, berkongsi kedudukan teratas Kumpulan H bersama Korea Utara, namun dipisahkan oleh kelebihan jaringan memihak pasukan Asia Timur itu.
Pertemuan menentang Korea Utara yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini bakal menjadi penentu penting bagi Malayan Tigress.
Korea Utara sebelum ini membelasah Palestin 10-0 di venue sama, menjadikan aksi terakhir kumpulan itu sebagai penentu juara kumpulan dan tiket automatik ke pusingan akhir di Australia dari 1 hingga 21 Mac tahun depan.