Selangor lengkapkan kejayaan berganda

Iklan
Amirudin (empat dari kiri) dan Taufiq (dua dari kanan) bersama tetamu kenamaan meraikan kejayaan Selangor muncul juara Para SUKMA 2026 di Shah Alam pada Khamis. Foto: Bernama.

SELANGOR melengkapkan kejayaan berganda pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila kontinjen Merah Kuning turut dinobatkan juara keseluruhan Para SUKMA Selangor 2026 yang melabuhkan tirai pada Khamis.

Tuan rumah mengumpul 200 pingat menerusi 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 60 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Iklan
Iklan

Sabah menamatkan saingan di tempat kedua dengan 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa, manakala Sarawak di tangga ketiga hasil 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan di medan pertandingan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mencorakkan masa depan sukan para negara.

Iklan

Beliau berharap atlet yang menyerlah pada temasya itu mampu melangkah lebih jauh sehingga ke pentas Paralimpik dan seterusnya bergelar juara dunia.

"Itu sememangnya menjadi hasrat Selangor menjadi tuan rumah dengan menghadkan kategori umur kepada bawah 40 tahun agar ekosistem sukan para negara terus dinamik, dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu, pelapis baharu yang lebih kompetitif dan mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Iklan

"Jika atlet tersebut bukannya datang daripada Selangor sekalipun, negeri ini tetap berbangga kerana bakat-bakat tersebut lahir daripada Para SUKMA Selangor 2026," katanya.

Majlis penutupan tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pada Ogos lalu, Selangor menjuarai SUKMA 2026 setelah mengutip 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Amirudin berkata, penyertaan 1,352 atlet para dari seluruh negara dalam 10 jenis sukan membawa pengertian besar kepada Selangor, selain membuktikan temasya berkenaan mampu menjadi medan mencungkil bakat baharu.

Menurutnya, meskipun penganjuran dilaksanakan dengan perbelanjaan berhemah, kerajaan negeri tetap mahu memastikan temasya itu meninggalkan kenangan bermakna kepada semua atlet yang bertanding.

"Pada malam ini (Khamis), medan perjuangan Para SUKMA di Selangor akan berakhir. Obor dan bendera kejohanan akan beralih tangan kepada tuan rumah SUKMA ke-23 iaitu Kelantan Darul Naim pada 2028.

"Dalam tempoh dua tahun lagi saya percaya persaingan lebih hebat di Kelantan. Semoga kejayaan demi kejayaan terus dilakar oleh atlet-atlet istimewa kita yang dapat membanggakan ibu bapa, ahli keluarga, masyarakat, negeri dan negara," katanya.

Dalam pada itu, perenang para Selangor, Muhammad Safwan Suhaimi, 20, dinobatkan sebagai Atlet Para Lelaki Terbaik Para SUKMA Selangor 2026.

Gelaran Atlet Para Wanita Terbaik pula menjadi milik atlet olahraga para Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki, 22.

Kedua-dua atlet membawa pulang wang tunai RM5,000 serta piala iringan.