KEJOHANAN Sukan dan Permainan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kebangsaan 2026 (SUPER X) bukan sekadar medan pertandingan sebaliknya menjadi platform penting dalam mengenal pasti, mencungkil dan mengembangkan bakat pelajar MRSM ke tahap lebih tinggi.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Zulfikri Osman berkata, penganjuran SUPER X 2026 membuktikan sukan merupakan sebahagian daripada ekosistem pembangunan pelajar yang memberi ruang kepada mereka menguji potensi, meningkatkan prestasi serta membina pengalaman menerusi persaingan sihat.
Menurutnya, SUPER X 2026 menghimpunkan seramai 2,968 atlet muda daripada 14 kontinjen yang bertanding dalam 10 jenis sukan yang diadakan bermula 7 hingga 11 September.
"Kejohanan ini mempertandingkan 10 jenis sukan iaitu bola sepak, ragbi sentuh, ragbi tackle, hoki, tenis, badminton, ping pong, memanah, bola jaring, bola tampar dan sepak takraw.
“Lebih 300 sukarelawan serta hampir 600 guru pengiring, urus setia dan pegawai teknikal turut terlibat bagi memastikan perjalanan kejohanan ini berlangsung dengan baik.
“Skala penyertaan ini memperlihatkan bahawa SUPER X bukan sekadar sebuah kejohanan tetapi telah berkembang sebagai salah satu platform penting dalam kalendar pembangunan pelajar MRSM di peringkat kebangsaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan SUPER X 2026 di Universiti Sains Malaysia (USM), George Town pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir, isteri TYT, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A Ranjendran.
Zulfikri menambah, setiap atlet yang mengambil bahagian membawa potensi tersendiri yang perlu terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang sehingga mampu mencapai tahap lebih tinggi.
Katanya, pengalaman yang dibina melalui sukan juga boleh menjadi asas kepada pencapaian lebih besar dalam kehidupan.
"Dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Menengah MARA, SUPER X bukan sekadar medan merebut kejuaraan dan pingat sebaliknya menjadi platform strategik untuk pelajar mengembangkan potensi diri, mempertajamkan kemahiran serta mutu permainan dan membina keyakinan dalam suasana pertandingan yang kompetitif.
"Pada masa sama, SUPER X menjadi wadah penting untuk mengenal pasti atlet muda berpotensi tinggi yang boleh dibangunkan secara lebih sistematik bagi mewakili MARA dalam pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi, selaras dengan aspirasi membangunkan bakat pelajar secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata, SUPER X 2026 menjadi antara manifestasi ekosistem tersebut apabila pendidikan dan pembangunan bakat anak-anak MRSM dihimpunkan dalam satu pentas kebangsaan.
Dalam perkembangan sama, Zulfikri berkata, penganjuran SUPER X turut memperlihatkan kekuatan MARA sebagai sebuah Unified Entity menerusi kerjasama pelbagai bahagian, institusi, kepakaran dan fungsi bagi mencapai matlamat sama.
“SUPER X menjadi contoh bagaimana kekuatan ini dapat digembleng melalui kerjasama antara institusi MARA iaitu Bahagian Pendidikan Menengah yang menguruskan MRSM, USM, rakan strategik dan seluruh warga kerja yang terlibat.
“Kerjasama ini diperkukuh dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, apabila semua pihak bergerak sebagai satu entiti, kekuatan yang ada dapat digabungkan dan impaknya menjadi lebih besar.
“Berbeza fungsi, tetapi bersatu pada matlamat. Inilah semangat Unified Entity. Kepada seluruh atlet SUPER X 2026, syabas dan tahniah atas usaha, komitmen dan semangat yang ditunjukkan.
“Kepada para pemenang, teruskan kecemerlangan. Kepada yang belum berjaya, teruskan usaha dan jadikan pengalaman ini sebagai motivasi untuk kembali dengan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, pencapaian atlet tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kemenangan sebaliknya sejauh mana pengalaman yang diperoleh menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau juga berharap SUPER X terus berkembang sebagai platform pembangunan bakat penting dalam ekosistem MRSM dan MARA bagi melahirkan lebih ramai generasi berprestasi tinggi, berilmu, berkemahiran serta mampu bersaing di peringkat nasional dan global.
Terdahulu, kontinjen MRSM Kedah diwakili 170 atlet dari MRSM Pendang, MRSM PDRM Kulim, MRSM Merbok, MRSM Kubang Pasu, MRSM Baling dan MRSM Langkawi dinobat sebagai juara keseluruhan SUPER X 2026 selepas meraih 14 pingat meliputi enam emas, tiga perak dan lima gangsa
Kontinjen MRSM Pulau Pinang pula bergelar naib juara dengan kutipan lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa selain memenangi anugerah Maskot Terbaik manakala MRSM Perak B menduduki tangga ketiga membawa pulang 15 butir pingat iaitu empat emas, empat perak serta tujuh gangsa.
Kontinjen MRSM Kelantan muncul johan perbarisan diikuti MRSM Johor dan MRSM Sarawak di tempat kedua dan ketiga.