SIPITANG – Projek menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia, yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A, berdepan beberapa cabaran termasuk keperluan rawatan tanah tambahan bagi menjamin kestabilan struktur jangka panjang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pakej berkenaan terletak di kawasan sempadan Sabah, Sarawak dan Brunei, menjadikannya laluan penting serta jaringan utama infrastruktur di Borneo.
Menurutnya, projek itu berperanan meningkatkan mobiliti, keterangkuman dan perpaduan antara kedua-dua negeri, selain menyokong hubungan perdagangan dan sosial antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar.
“Projek menaik taraf ini melibatkan kerja pembinaan sepanjang 28.3 kilometer, termasuk pembinaan jalan lencongan (bypass) sejauh 9.4 kilometer, empat jambatan, satu persimpangan bertingkat, tiga jejantas pejalan kaki dan 26 unit hentian bas bagi kemudahan pengguna jalan raya.
“Sehingga Jun lalu, kemajuan fizikal projek telah mencapai 82.63 peratus. Namun, ia berdepan cabaran utama melibatkan keadaan tanah yang kurang sesuai, sekali gus memerlukan rawatan tambahan bagi menjamin kestabilan struktur untuk jangka panjang,” katanya ketika meninjau tapak projek di Sindumin, pada Rabu.
Tambah beliau lagi, proses rawatan tanah mengambil masa tambahan dan sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran jadual kerja di tapak, manakala faktor cuaca tidak menentu turut memberi kesan terhadap produktiviti pembinaan.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menekankan kepentingan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) secara teratur oleh pihak kontraktor bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.
Sehubungan itu, Ahmad berharap semua pihak terlibat termasuk pasukan projek, kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan komitmen serta kerjasama menerusi perbincangan berterusan supaya projek tersebut dapat disiapkan mengikut spesifikasi, tempoh dan kos yang ditetapkan.
“Sesi turun padang ini diadakan bagi meninjau perkembangan projek yang memerlukan tindakan segera agar tidak berlaku kelewatan atau menjadi projek sakit.
“Ini sejajar dengan matlamat Program MYJalan untuk menyediakan rangkaian jalan raya berkualiti, selesa, selamat dan mampan kepada seluruh rakyat Malaysia, selaras aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, nilai ihsan dan kemampanan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian pada awal Jun melaporkan bahawa laluan ke Sipitang diibaratkan sebagai ‘jalan derita’ oleh pengguna, apabila ada yang terpaksa merisikokan diri hingga terbabit dalam kemalangan akibat keadaan jalan yang tidak diselenggara dengan baik berikutan kerja-kerja pembinaan LPB.