SHAH ALAM - Pas mengajak masyarakat memperbaharui tekad dan iltizam dengan memilih jalan kesederhanaan, kesabaran, kejujuran serta kebijaksanaan sebagai pedoman dalam membina masa depan lebih bermakna sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sambutan perayaan tersebut merupakan masa berhimpun bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memperkukuh semangat persaudaraan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Atas semangat saling menghormati dan persefahaman, marilah kita terus memperkuat perpaduan, menegakkan keadilan dan bekerjasama dalam membina Malaysia yang makmur dan harmoni.
“Pemikir klasik China, Konfucius mengingatkan bahawa ‘keharmonian adalah sesuatu yang mesti dialu-alukan’.
“Dalam masyarakat kita yang berbagai latar belakang, keharmonian bukanlah keseragaman, tetapi berdiri atas sikap saling-menghormati dan memahami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar Takiyuddin, perpaduan dan keharmonian dalam negara juga dapat diperkukuh, sekiranya masyarakat menjunjung prinsip ketertiban, kesopanan dan keadilan.
“Sempena sambutan tahun baru kali ini, marilah kita memperbaharui tekad dan iltizam untuk memilih jalan kesederhanaan, kesabaran, kejujuran dan kebijaksanaan sebagai pedoman dan resipi kekal bagi membina masa depan bersama yang sihat dan bermakna.
“Pas mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan harapan semoga tahun ini diisi dengan keamanan, kemakmuran, kesihatan serta harapan baik untuk setiap keluarga dan individu,” katanya.