PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini mengedarkan limau mandarin kepada hampir 550 warga kerja kementerian sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam kenyataan berkata, Steven turun ke setiap bahagian dan unit kementerian bagi bertemu serta menyampaikan sendiri limau mandarin kepada penjawat awam.
Menurut kenyataan itu, pemberian limau mandarin bukan sekadar simbol perayaan, tetapi juga doa dan harapan yang baik memasuki tahun baharu.
"Dalam budaya masyarakat Cina, buah limau dikaitkan sebagai tuah serta rezeki kerana sebutannya hampir sama dengan perkataan yang membawa maksud keberuntungan dan emas.
"Simbolik tersebut mencerminkan aspirasi agar seluruh warga kementerian dikurniakan kesejahteraan, kesihatan dan kejayaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.
"Kehadiran Tahun Kuda kali ini juga disifatkan sebagai simbol tenaga, keberanian dan daya tahan yang tinggi. Oleh itu, semangat tersebut perlu diterapkan dalam usaha memperkukuh serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini," katanya pada Sabtu.
Steven turut berharap seluruh warga kerja kementerian dapat melangkah ke tahun baharu dengan semangat yang lebih kental, berfikiran progresif dan komited dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara demi kemakmuran bersama.