IPOH – Seorang pengarah jabatan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM30,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Alhairi Mohamed Yusuf, 47, yang merupakan Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada dua anak itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,000 melalui akaun Maybank miliknya tanpa sebarang balasan daripada seorang lelaki bernama Nazman Puteh, sedangkan beliau mengetahui bahawa individu tersebut mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Taiping, Jalan Chung Thye Phin dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 2 November 2023.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima RM10,000 ke dalam akaun sama tanpa sebarang balasan daripada Nazman Puteh melalui dua individu, iaitu Song Teik Sun dan Wong Huey Peng, pada tarikh dan lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap awal bulan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Khairul Nizam Abd Razak memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga, mempunyai dua anak masing-masing berusia lapan dan 11 tahun yang masih bersekolah, serta isteri tidak bekerja.
“Anak guam saya juga masih berkhidmat dan sepanjang siasatan selama setahun sejak Jun tahun lalu, beliau telah memberikan kerjasama penuh tanpa gagal kepada pihak SPRM dengan melapor diri seperti diarahkan,” katanya.
Hakim Meor Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Selangor pada Sabtu pertama setiap bulan.
Beliau turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta-merta untuk disimpan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.