MFL tunggu pengesahan venue rasmi Imigresen FC

Iklan
Mohd Shazli. Foto Bernama

HANYA pasukan Imigresen FC yang masih belum memuktamadkan venue gelanggang rasmi mereka bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, badan penganjur liga itu telah memberi tempoh sehingga Sabtu ini kepada pasukan tersebut untuk memuktamadkan venue rasmi mereka sebelum liga bermula.

Iklan
Iklan

“Setakat ini, hanya Imigresen FC belum menamakan venue rasmi mereka. Semua pasukan lain telah pun memuktamadkan venue masing-masing. Kami masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pihak Imigresen.

“Sebelum ini mereka mencadangkan Stadium Darul Aman, tetapi difahamkan bahawa venue tersebut tidak boleh digunakan untuk pasukan Imigresen,” katanya.

Iklan

Mohd Shazli berkata, pihak sekretariat MFL terus berkomunikasi rapat dengan pengurusan Imigresen FC dan sedia maklum pasukan itu sedang berada di fasa akhir perbincangan mengenai lokasi venue.

“Imigresen sedang berusaha mendapatkan venue di sekitar kawasan utara, tetapi sehingga kini kami masih menunggu pengesahan rasmi. MFL telah menetapkan tarikh akhir 5 Julai ini bagi memastikan segala keperluan teknikal dan operasi dapat dilaksanakan tepat pada waktunya,” ujarnya.

Iklan

Menurut beliau, MFL akan memulakan proses pemeriksaan stadium bermula Rabu di semua venue pasukan bertanding bagi memastikan pematuhan dari aspek peraturan pertandingan, komersial, media, siaran langsung, serta pelesenan kelab.

“Pasukan kami bersama hos penyiar rasmi juga akan ke Brunei dalam masa terdekat untuk menjalankan pemeriksaan dan mengadakan taklimat khas bersama pasukan Brunei,” katanya.