Perunding minyak dan gas rugi RM2.7 juta terpedaya sindiket pelaburan palsu

Iklan
Kesemua dana yang digunakan mangsa adalah hasil simpanan peribadi serta wang daripada ahli keluarganya.

IPOH - Seorang perunding minyak dan gas mengalami kerugian besar mencecah RM2.7 juta apabila diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi sebuah laman web. 

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, laporan kes itu diterima daripada mangsa, lelaki tempatan berusia 37 tahun pada 29 Jun lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menyedari telah ditipu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa memaklumkan telah membuat 136 transaksi pindahan wang ke tujuh akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM2,701,687 bermula 5 Januari 2024 hingga 20 Mei lalu.

"Mangsa telah mendaftar akaun pelaburan di laman web berkenaan melalui seorang kenalan yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada April 2023.

Iklan

"Akibat yakin dengan suspek, mangsa telah membuat bayaran pertama sebanyak RM30,000, sebelum diberikan akaun pengguna dan kata laluan untuk memantau pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa mula curiga apabila setiap kali mahu mengeluarkan ‘keuntungan’, dia diminta membuat bayaran tambahan terlebih dahulu.

Iklan

Katanya, suspek juga sering memberikan pelbagai alasan dan kini gagal dihubungi.

"Sehingga kini, tiada wang dapat dikeluarkan daripada platform tersebut.

"Kesemua dana yang digunakan mangsa adalah hasil simpanan peribadi serta wang daripada ahli keluarganya," katanya.

Noor Hisam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan menerusi laman web yang tidak sah, tidak berdaftar dan tidak dikawal selia oleh pihak berkuasa.

“Pelaburan seperti ini sangat berisiko dan boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar.

"Buat semakan latar belakang syarikat pelaburan melalui pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.