PDRM rampas 5,051 senjata tiruan bernilai RM4.16 juta

Iklan
Azmi

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas sebanyak 5,051 laras senjata api tiruan bernilai RM4.16 juta dalam serbuan ke atas tujuh premis di ibu negara, Selangor dan Johor pada Isnin.

Menerusi Op Taring Bravo 3 (Senjata Tiruan) yang dilaksanakan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), enam individu telah ditahan.

Iklan
Iklan

Kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan empat warga asing berusia antara 28 hingga 40 tahun.

Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi pertama melibatkan dua premis di sekitar Kepong, Kuala Lumpur, yang menyaksikan empat lelaki warga asing ditahan.

Iklan

“Hasil serbuan itu, sebanyak 4,983 laras senjata tiruan berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan RM4.11 juta.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 1,400 kotak mengandungi pelbagai jenis makanan ringan yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Azmi berkata, dalam operasi kedua, dua premis perniagaan di Bandar Baru Bangi, Selangor telah diserbu dan seorang lelaki ditahan bersama rampasan 53 laras senjata api tiruan bernilai RM31,520.

“Serbuan turut dilakukan di sebuah kediaman di Batu Pahat, Johor, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan serta rampasan 15 laras senjata tiruan bernilai RM15,000.

“Siasatan awal mendapati kesemua senjata api tiruan tersebut disimpan bagi tujuan jualan kepada orang awam,” katanya.

Tambah beliau, premis-premis perniagaan yang diserbu tidak memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Siasatan juga mendapati modus operandi sindiket adalah menjalankan jualan senjata api tiruan melalui platform dalam talian sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Azmi menjelaskan, operasi ini dilancarkan susulan beberapa kejadian jenayah melibatkan penggunaan senjata api tiruan oleh suspek.

“Operasi ini juga bertujuan mengelakkan penyalahgunaan senjata tiruan yang boleh menimbulkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada pengendali platform media sosial dan dagangan agar tidak menjual barangan yang menyalahi undang-undang.

“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak terlibat dalam pembelian atau penyimpanan senjata api tiruan dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengetahui aktiviti penjualan senjata tersebut,” ujarnya.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1969, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Seksyen 26(1)(a) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan, dan Peraturan 32B Peraturan-Peraturan Makanan 2007.

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan bahawa sebanyak 153 serbuan telah dilancarkan oleh WCB/PSK Bukit Aman di seluruh negara dengan 233 individu ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar dan sisa elektronik (e-waste) sepanjang tempoh Januari hingga Isnin lalu.

“Sepanjang tempoh itu, rampasan bernilai RM433.35 juta telah dilakukan. PDRM memberi jaminan akan terus mempergiatkan risikan dan operasi secara berterusan.

“Orang awam digalakkan menyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu usaha membanteras jenayah ini sepenuhnya,” katanya.