'Tak tahu kena aktifkan RFID' - Warga Singapura akur disaman

Iklan
JPJ menyediakan unit bergerak di lokasi penguatkuasaan untuk membolehkan pemilik kenderaan menyelesaikan saman serta-merta dan mengaktifkan VEP sebelum meninggalkan negara ini.

JOHOR BAHRU - “Saya ingat daftar sahaja sudah cukup.”

Demikian pengakuan seorang rakyat Singapura yang menjadi antara individu pertama disaman pada hari pertama penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di negara ini, pada tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

Pelaksanaan penguatkuasaan itu bagaimanapun diterima baik oleh sebilangan besar rakyat republik tersebut yang memasuki Malaysia menggunakan kenderaan persendirian.

Pekerja swasta, Mohd Zulhadis Zulkifli, 38, berkata, beliau sudah membuat pendaftaran VEP sejak Mac lalu, namun tidak mengetahui bahawa pengaktifan tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) turut diwajibkan.

Iklan

“Saya daftar, kemudian tunggu maklum balas. Saya tidak tahu perlu aktifkan, jadi saya terima sajalah saman ini.

“Prosedurnya pun tidak susah. Mungkin ramai yang kurang jelas, itu sahaja. Sekarang saya sudah faham dan saya nasihatkan semua warga Singapura yang nak masuk Malaysia supaya segera aktifkan RFID,” katanya.

Iklan

Anggota JPJ menerangkan mengenai pelaksanaan RFID sempena penguatkuasaan sepenuhnya VEP untuk kenderaan persendirian.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa operasi VEP di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

Sementara itu, seorang lagi warga Singapura yang turut dikenakan saman, hanya mahu dikenali sebagai Yeo, 34, memaklumkan beliau menerima maklumat tidak tepat daripada pihak majikannya.

Katanya, majikan memaklumkan bahawa hanya kenderaan persendirian perlu mendaftar VEP, sedangkan kenderaan syarikat juga tertakluk kepada peraturan tersebut.

“Kenderaan saya ini milik syarikat. Saya akan maklumkan semula kepada majikan agar semua kenderaan syarikat yang masuk Malaysia selepas ini didaftarkan segera,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pekerja swasta, Adi Sharif, 27, berkata, beliau mengambil langkah proaktif dengan mendaftar dan mengaktifkan tag RFID sejak Februari lalu.

“Saya kerap berulang-alik antara Malaysia dan Singapura, jadi lebih baik saya selesaikan awal. Prosesnya pun cepat dan mudah, staf pun banyak membantu.

“Pada saya, penguatkuasaan ini bagus untuk keselamatan dan kawalan kenderaan asing,” katanya.