TANAH MERAH – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) intelektual dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan membunuh seorang warga emas pada 16 Jun lalu.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu didakwa di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan bunuh ke atas Shamsudin Mohamed, 60, di tepi jalan sebelah kedai runcit, Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini pada jam 6 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun, maksimum 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, boleh disebat tidak kurang 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana pertuduhan atas kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Kes ditetapkan pada 2 September ini untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan perubatan.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki warga emas berkenaan maut dipercayai selepas dipukul dengan sebatang besi.
Mangsa mengalami kecederaan parah di muka dan disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada dendam dan mangsa pernah beberapa kali menegur tertuduh menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.