NARATHIWAT, THAILAND - Mahkamah Rayuan Wilayah Sembilan Thailand memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk memindahkan kes penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat rakan ke Mahkamah Rayuan di Songkhla.
“Tidak ada... pendakwa raya belum kemuka rayuan kes berkenaan,” kata jurucakap Pejabat Mahkamah Rayuan Wilayah Sembilan di Narathiwat pada Isnin.
Memetik laporan Apakhabartv.com, jurucakap mahkamah memberitahu, sebarang permohonan rayuan perlu dikemukakan melalui pejabat Mahkamah Wilayah Narathiwat terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pihaknya.
Sementara itu, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya juga tidak menerima apa-apa permohonan berkaitan kes enam rakyat Malaysia itu, daripada pihak pendakwa raya.
“Mengikut prosedur... semua rayuan kes perlu dikemukakan ke pejabat mahkamah wilayah terlebih dahulu sebelum pihak kami menghantarnya kepada Mahkamah Rayuan.
“Mengikut rekod dalam sistem komputer kami, tiada apa-apa permohonan lagi daripada pihak pendakwa raya berkenaan kes enam rakyat Malaysia itu,” katanya.
Sebelum itu Sinar Harian Online melaporkan, kes dadah melibatkan Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan telah dipindahkan ke Mahkamah Rayuan di Songkhla.
Menurut sumber keputusan itu dibuat atas permintaan pendakwa raya Thailand selepas penyayi lagu 'Bae Soba Bae', suami dan empat rakan sedang menjalani tahanan di Penjara Wilayah Narathiwat sementara menunggu prosiding undang-undang selanjutnya.
Sinar Harian pada 5 Jun lalu melaporkan, nasib Eda Ezrin bersama suami serta empat rakannya, mungkin ditentukan oleh Mahkamah Agung Thailand.
Memetik laporan Apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, situasi itu tidak mustahil berlaku berdasarkan kes-kes sebelum ini.
“Dengan jumlah dadah yang dirampas terlalu banyak... ya, kes ini dijangka dibawa ke Mahkamah Rayuan, malah mungkin sehingga ke Mahkamah Agung.
"Ini pastinya akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Jika bebas, semua bebas, kalau bersalah semua akan dipenjara.
“Dadah yang dirampas banyak tetapi tiada siapa yang mengaku, inilah yang pendakwa raya akan buktikan. Sekiranya seorang atau dua orang mengaku, yang lain akan bebas,” katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan terlepas daripada penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding sebutan semula kes tersebut pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Bagaimanapun, semua rakyat Malaysia itu tetap kembali semula ke Penjara Wilayah Narathiwat meskipun mereka dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 6 Mac.
Tindakan itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah membebaskan kesemua rakyat Malaysia itu.
Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz berkata, pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.