Elak manipulasi harga: Ops Kesan 4.0 dikuat kuasa mulai Selasa

Iklan
Armizan ketika hadir pada sidanga akhbar di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Ops Kesan 4.0 bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan Ops Kesan itu berkuatkuasa pada tarikh sama pelaksanaan semakan dan peluasan skop SST itu yang bermula pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Sebagaimana yang kita maklum, esok akan bermulanya pelaksanaan semakan semula kadar dan peluasan skop SST, jadi sejajar dengan pelaksanaannya itu, Ops Kesan 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

"Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah akta tersebut.

Iklan

"Skop penguatkuasaan adalah meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkaitan termasuk pemantauan terhadap barangan yang tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Sesi Libat Uurs PPKB bagi negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.

Iklan

Katanya lagi, KPDN juga telah dan akan terus menggerakkan tiga pendekatannya dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Ops Kesan 4.0 tersebut.

"Antaranya ialah melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan. Ini termasuk mengguna pakai data-data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN.

"Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST dan memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan Kita Gempur iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

"KPDN juga menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan. Saluran aduan disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran yang disediakan," katanya.

Armizan menegaskan bahawa KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.

"Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Armizan berkata, KPDN  akan memanggil dua pengusaha syarikat untuk memberikan penjelasan berhubung isu kenaikan harga produk mereka yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ujar beliau, pengusaha air tersebut telahpun membuat laporan polis berhubung isu yang tular berkenaan kenaikan harga ais dari RM3.70 hingga RM6 bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan notis berkenaan.

"Tetapi apa pun, ada pergerakan dari segi blok ais tetapi bukan harga yang ditularkan tersebut. Satu lagi, yang saya lihat tular iaitu syarikat pengeluar makanan sejuk beku.

"Jadi kedua-dua syarikat ini telah pun kita panggil esok di KPDN untuk mereka memberikan penjelasan. Sekiranya mereka melakukan perubahan harga tersebut, apakah asasnya," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihak KPDN mahukan penjelasan asas kepada kenaikan harga itu adakah disebabkan kos operasi, bahan mentah ataupun pelaksanaan  semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

"Jika disebabkan SST, kita akan minta mereka memberikan asas tersebut, menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

"Apakah butiran atau komponen yang menyebabkan mereka melakukan perubahan atau pergerakan harga, selain margin atau julat kenaikan tersebut pun kita akan teliti, jadi esok kedua-dua syarikat akan datang beri penjelasan," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan peniaga supaya melihat polisi yang terkait dengan SST dan mekanisme pelaksanaannya yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan agensi pelaksanaan iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).