Kelantan sasar takluk SPM pula, perkasa tuisyen percuma luar bandar

Iklan
Wan Roslan (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian dengan menyentuh skrin tablet.

KOTA BHARU – Selepas mengungguli keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat kebangsaan tahun lalu, Kerajaan Negeri Kelantan kini menyasarkan gelaran negeri terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pelbagai inisiatif telah dirangka termasuk memperkasa Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) Kelantan 2.0 dan memperkenalkan tuisyen percuma secara dalam talian sebagai kaedah pembelajaran alternatif untuk pelajar luar bandar.

Iklan
Iklan

“Sekarang ini, juara SPM ialah Terengganu, manakala juara STPM ialah Kelantan.

“Jadi, selepas ini kami nak rebut juara bagi kedua-dua peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran TRS 2025 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, inisiatif tuisyen ini penting bagi memastikan pelajar negeri ini terus bersaing secara sihat dan berpeluang cemerlang dalam peperiksaan nasional walaupun berdepan kekangan lokasi dan ekonomi.

Wan Roslan berkata, antara pembaharuan utama TRS tahun ini ialah pelaksanaan program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera yang membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari rumah masing-masing.

Iklan

“e-Tuisyen Rakyat Sejahtera dikhaskan untuk pelajar luar bandar yang tidak mampu ke pusat tuisyen swasta atau tinggal jauh dari sekolah.

“Ada juga pelajar yang tidak dibenarkan keluar pada waktu malam, jadi kita bawa tuisyen dalam talian kepada mereka secara percuma,” katanya.

Wan Roslan (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh, Datuk Abdul Rahman Yunus (kanan).

Program tersebut, yang pertama kali diperkenalkan tahun ini, akan bermula pada bulan Julai melibatkan lebih 1,000 pelajar dan dikendalikan oleh Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK).

“Modul e-Tuisyen ini lengkap merangkumi semua subjek, bukan sahaja Matematik dan Sejarah, tetapi juga Kimia, Fizik dan Bahasa Inggeris yang dilaksanakan melalui peruntukan RM97,200 daripada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, program ini dibuka kepada pelajar sekolah YIK memandangkan kerajaan negeri tidak dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kalau ada sekolah KPM yang nak ikut serta, kami akan pertimbangkan dalam skop bidang kuasa yang dibenarkan,” katanya.

Mengulas TRS secara fizikal, beliau berkata, pelaksanaannya tahun ini diperluaskan ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan dua kelas (60 pelajar) setiap DUN, berbanding hanya satu kelas (30 pelajar) pada tahun lalu.

“Peruntukan tahun ini juga meningkat daripada RM10,000 kepada RM15,000 bagi setiap DUN.

“Secara keseluruhan, RM675,000 disalurkan untuk menjayakan program ini,” katanya.

Tambahnya, pencapaian TRS tahun lalu menunjukkan impak positif dengan peningkatan ketara prestasi pelajar, khususnya dalam subjek teras.

“YIK sahaja catat peningkatan empat peratus dalam keputusan SPM 2024 selain peningkatan menyeluruh dari segi pencapaian Matematik, Sejarah dan subjek teras lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) turut menubuhkan Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera di Kompleks YAKIN, di sini mulai Ogos ini dengan sasaran pelajar di kawasan bandar.

Kelantan mencatatkan kejayaan membanggakan dalam keputusan STPM 2024 apabila muncul sebagai negeri terbaik dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00, melepasi purata nasional 2.85.

Seramai 123 calon dari negeri itu memperoleh PNGK 4.00, menjadikan Kelantan antara negeri paling cemerlang dalam pencapaian akademik peringkat prauniversiti.

Sementara itu, negeri Terengganu kekal unggul dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.31, lebih baik daripada purata kebangsaan 4.49.

Seramai 11 calon di Terengganu memperoleh semua A+, menunjukkan kekuatan akademik negeri itu dalam peperiksaan peringkat menengah.

Pencapaian ini menjadikan kedua-dua negeri sering dibandingkan dari sudut prestasi pendidikan awam, dengan Kelantan mendahului STPM dan Terengganu mendominasi SPM.