Lelaki meninggal ketika solat dhuha sebab sakit jantung - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan lelaki meninggal dunia ketika solat dhuha di masjid.

BUTTERWORTH – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian melibatkan seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia di ruang solat Masjid Jamek Sungai Puyu, di sini pada pagi Sabtu lalu.

Mangsa dikenali sebagai Zulkifli Ahmad, 50, yang merupakan pesara tentera, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Seberang Jaya selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh jemaah masjid.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sebelum laporan dibuat di Balai Polis Mak Mandin pada jam 10.23 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Butterworth dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat berkenaan.

Iklan

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 11 pagi, pasukan penyiasat mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang solat masjid tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa. Petugas perubatan kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke HSJ untuk proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kerana 'coronary atherosclerosis' atau saluran jantung tersumbat.

“Mangsa beralamat di Pangsapuri Indah, Teluk Air Tawar. Saya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi waris,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang jemaah ditemui meninggal dunia ketika menunaikan solat dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu pada pagi Sabtu.

Mangsa yang juga ahli Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pulau Pinang difahamkan singgah di masjid berkenaan sebelum rebah ketika menunaikan solat sunat tersebut.

Menurut seorang ahli kariah masjid, Allahyarham dikatakan rebah dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi.

Allahyarham rebah secara tiba-tiba ketika berada dalam keadaan bersujud sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham dikatakan kerap mengikuti program keagamaan bersama kumpulan tabligh yang disertainya.