PUTRAJAYA – Perdana Menteri menegur segelintir mahasiswa yang didakwa menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung dakwaan kenaikan kadar elektrik susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kadar elektrik tidak mengalami kenaikan kecuali bagi pengguna dalam kumpulan 10 dan 15 peratus teratas.
“Katanya kadar elektrik naik. Saya tak faham, betul ke dia (mahasiswa) terkesan, sedangkan universiti awam dikecualikan.
“Kalau benar universiti mengenakan caj elektrik kepada mahasiswa, kita kena betulkan,” katanya pada Isnin.
Menurut Anwar, beliau tidak menolak sebarang kritikan, namun meminta semua pihak terutama golongan muda supaya menyuarakan pendapat berdasarkan fakta dan kebenaran.
“Saya tidak mempunyai masalah jika orang menegur dan mengkritik tetapi jangan sampai ruang kebebasan digunakan untuk menyebar fitnah dan maki hamun.
“Kita cuba elakkan beban kepada rakyat tetapi jika ada satu dua kes yang benar-benar terkesan, kita boleh perbaiki. Cuma tolong jangan sebar maklumat tidak tepat.
“Bagi saya sebagai bekas pejuang mahasiswa, kita ini ‘conscience of the majority’ hati nurani rakyat terbanyak. Jadi tolong berikan fakta,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka terhadap pandangan rakyat dan bersedia meneliti semula sebarang keputusan yang dirasakan membebankan, termasuk dalam pelaksanaan SST.
Beliau memberi contoh pendekatan fleksibel kerajaan apabila pelaksanaan cukai ke atas buah-buahan import seperti epal, limau dan kurma ditangguhkan selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya semak dengan kementerian. Ada limau yang agak murah, jadi kita boleh kecualikan. Walaupun jarang berlaku keputusan Kementerian Kewangan boleh diubah dalam masa singkat, kita boleh dengar dan ubah suai bila perlu,” jelasnya.
Anwar turut memaklumkan bahawa semakan semula terhadap pelaksanaan SST juga dilakukan bagi memenuhi permintaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memohon ambang nilai jualan tahunan dinaikkan.
“PKS kata RM500,000 terlalu rendah. Mereka minta RM1.5 juta dan kita naikkan kepada RM1 juta. Itu pun sudah diumumkan. Kita dengar dan kita sesuaikan,” katanya.
Menurut beliau, langkah-langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja prihatin terhadap suara rakyat, malah komited untuk menyeimbangkan antara keperluan negara dan kesejahteraan masyarakat.