SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya menjaga niat dan tingkah laku mereka ketika pergi kawasan perkuburan supaya tidak terpesong daripada tujuan asal ziarah kubur seperti yang disyariatkan dalam Islam.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, umat Islam dibolehkan menziarahi kubur selagi mana tidak menjurus kepada perbuatan syirik atau khurafat.
Ujar beliau, menziarahi kubur sepatutnya menjadi medan untuk umat Islam menginsafi diri, mengingati tentang kematian dan mendoakan kesejahteraan untuk arwah.
“Tidak ada masalah jika orang ramai datang untuk menyampaikan ucapan takziah, mendoakan Allahyarham dan memberi sokongan moral kepada keluarga. Tindakan ziarah kubur itu sunat.
“Kita boleh ziarah kubur seperti biasa, asalkan tidak memberi apa-apa nilai tambah yang boleh membawa kepada perbuatan syirik atau khurafat,” katanya.
Sebelum ini, kubur Allahyarham Nurly Sahirah Azman yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, dipasang pengadang oleh keluarganya bagi mengelakkan sebarang perbuatan khurafat yang dikhuatiri mencemarkan kesucian pusara.
Menurut abang arwah, Mohd Najmuddin Azman, 28, pihak keluarga terpaksa mengambil tindakan memasang tali tersebut bagi mengelakkan perkara tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mengunjungi kawasan berkenaan.
Allahyarham Nurly Sahirah, 23, yang juga seorang hafizah al-Quran, meninggal dunia dalam nahas tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI yang terbabas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu.
Ujar Mohamad Shukri, keputusan keluarga Allahyarham Nurly Sahirah memasang pengadang di kawasan kubur tersebut merupakan satu tindakan yang wajar.
“Tindakan itu menutup pintu dari awal lagi supaya tidak terdedah kepada kerosakan atau tindakan khurafat sebelum ia berlaku.
“Itu tidak mengapa kerana ia juga bertujuan mengelakkan haiwan liar seperti kerbau daripada masuk ke kawasan berkenaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan umat Islam tidak sesuka hati menghukum perbuatan seseorang itu sebagai syirik tanpa mempunyai fakta atau bukti yang jelas.