BANGKOK – Sokongan terhadap Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra merosot ke paras satu digit selepas imej kepimpinannya tercalar akibat skandal diplomatik yang mencetuskan kemarahan rakyat.
Keputusan tinjauan yang dilakukan Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA) pada 19 hingga 25 Jun lalu mendapati hanya 9.2 peratus responden menzahirkan sokongan kepadanya.
Angka tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding 30.9 peratus yang diraih pada tinjauan suku pertama tahun 2025.
Kedudukan Paetongtarn semakin tergugat selepas Bangkok dilanda siri protes yang menuntut peletakan jawatannya, susulan kebocoran klip audio perbualannya dengan pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen, yang mengundang kemarahan kerana mengandungi kritikan terhadap institusi tentera.
Tinjauan sama juga menunjukkan bahawa Natthaphong Ruengpanyawut, pemimpin Parti Rakyat yang merupakan parti pembangkang, kini muncul sebagai calon pilihan untuk menggantikan Paetongtarn dengan memperoleh hampir 31.5 peratus sokongan responden.
Untuk rekod, Paetongtarn, anak kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada Ogos 2024, hanya beberapa hari selepas pendahulunya, Srettha Thavisin, disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan atas kesalahan melanggar etika. - Agensi