KUALA LUMPUR – Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 telah mengemukakan beberapa tuntutan utama kepada kerajaan bagi memperkukuh integriti sistem perundangan serta memperkasa institusi pencegahan rasuah negara.
Menerusi kenyataan rasmi sempena Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara, sekretariat itu menggesa supaya pemisahan kuasa antara Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya (OPP) dilaksanakan dengan segera.
Ia dicadangkan dilaksanakan menerusi pindaan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, bagi menjamin kebebasan fungsi pendakwaan tanpa pengaruh eksekutif.
Selain itu, sekretariat turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kedudukan sebagai institusi bebas di bawah Perlembagaan Persekutuan serta diberi autonomi penuh dalam melaksanakan fungsi siasatan dan pendakwaan.
"Penambahbaikan dalaman turut disarankan, termasuk penetapan had penggal Ketua Pesuruhjaya SPRM, bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban jangka panjang," menurut kenyataan itu lagi.
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Akta Pendanaan Politik (PFA) berdasarkan saranan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), bagi memastikan pembiayaan politik lebih telus dan berakauntabiliti, sekali gus mengelakkan berulangnya skandal besar yang melibatkan dana awam.
Turut dibangkitkan ialah permintaan agar kerajaan memberikan penjelasan berhubung status kes melibatkan mendiang Teoh Beng Hock, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).
"Sekretariat menyatakan bahawa isu itu masih menjadi perhatian rakyat dan perlu diberikan keutamaan dalam usaha menegakkan keadilan serta mengembalikan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, tuntutan-tuntutan berkenaan dianggap sebagai langkah minimum yang perlu dilaksanakan segera bagi membuktikan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi dan integriti dalam pentadbiran.
Sekretariat menegaskan bahawa mereka akan terus memainkan peranan sebagai suara rakyat dalam mengangkat isu ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam, selaras dengan aspirasi Malaysia yang bebas daripada rasuah.