Kontraktor diingatkan jangan lengah projek - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (kiri) melihat plan bangunan ketika lawatan kerja rasmi ke Projek UMK, Pembinaan Bangunan Kompleks Fakulti Keusahawanan, Kampus Bachok pada Sabtu.

BACHOK - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengingatkan kontraktor supaya tidak melengahkan projek dan memastikan ia disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan kerugian.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan kerja atau operasi (AOT) adalah sangat penting berbanding lanjutan tempoh masa (EOT) yang diberikan kepada kontraktor terbabit.

Iklan
Iklan

"Jangan mencipta pelbagai alasan selepas berlaku kelewatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pembinaan Bangunan Kompleks Fakulti Keusahawanan, Kampus Bachok pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, beliau mahu pembinaan kompleks berkenaan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada 20 Oktober tahun ini, selepas mengalami kelewatan sehingga tiga kali tempoh masa tambahan diberikan.

Menurutnya, sehingga kini bangunan berkenaan telah siap sebanyak 68.9 peratus dan masih berbaki kira-kira 30 peratus.

Iklan

"Saya dimaklumkan kelewatan projek ini disebabkan oleh masalah pengurusan dan kewangan kontraktor," katanya.

Justeru, Ahmad mencadangkan supaya pihak kontraktor melaksanakan sekurang-kurangnya dua syif supaya kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan sepenuhnya pada tarikh tersebut.

Jelasnya, kelewatan boleh menyebabkan kerugian terhadap tiga pihak iaitu kerajaan, pelajar serta kontraktor yang menanggung kos sebanyak RM50,000 sebulan.

"Kita mahu kontraktor yang dilantik mengambil inisiatif drastik supaya projek berkenaan tidak lagi mengalami kelewatan," katanya.