Shahidan gesa semua dividen KWSP masuk Akaun 3 bantu pencarum beraya

Iklan
Shahidan (gambar kecil) berkata, langkah itu penting bagi membantu pencarum yang sangat memerlukan wang ketika menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa supaya dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 disalurkan sepenuhnya ke Akaun 3 (Fleksibel) bagi meringankan beban pencarum yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, langkah itu penting bagi membantu pencarum yang sangat memerlukan wang ketika menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

“Menjelang pengumuman kadar dividen 2025 oleh KWSP pada Sabtu ini, saya ingin menyeru agar pihak kerajaan mempertimbangkan satu langkah yang benar-benar memberi kelegaan kepada rakyat.

“Saya memohon agar dividen yang diumumkan dimasukkan 100 peratus terus ke Akaun 3 supaya ia boleh dimanfaatkan segera oleh pencarum yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Perkara itu terdahulu turut dibangkitkan Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Pada Selasa, KWSP dilaporkan akan mengumumkan kadar dividen bagi 2025 pada Sabtu ini berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan kumpulan tersebut bagi mengadakan taklimat mengenai dividen 2025 pada hari berkenaan.

Iklan

KWSP mengisytiharkan kadar dividen tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus bagi akaun simpanan konvensional dan syariah.

Kadar dividen bagi 2023 pula masing-masing 5.5 peratus dan 5.4 peratus untuk simpanan konvensional dan simpanan syariah.

Jumaat lalu, media turut melaporkan pencarum KWSP mengharapkan semua dividen yang bakal diumumkan dimasukkan sepenuhnya ke Akaun 3 supaya boleh digunakan bagi perbelanjaan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Shahidan, cadangan berkenaan tidak memberi sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan kerana ia hanya melibatkan pengagihan dividen KWSP.

“Kerajaan tidak perlu buat apa-apa, hanya dividen KWSP yang akan diberikan pada Mac ini perlu dimasukkan semuanya ke Akaun 3.

“Sekarang dividen dimasukkan ke Akaun 1 dan Akaun 2 yang sukar dikeluarkan dan hanya sedikit ke Akaun 3,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh seorang pegawainya yang mempunyai simpanan sebanyak RM300,000, namun tidak boleh mengeluarkan wang berkenaan kerana faktor umur yang masih muda.

Tambahnya, dividen tahunan yang diterima pegawainya itu dianggarkan hampir RM10,000.

“Dia (pegawai saya) kata kalau dapat dividen berkenaan, ia cukup-cukup menolongnya. Jadi kita mintalah pada bulan Ramadan ini agar perkara ini dipertimbangkan kerana pencarum berpuasa dan mahu membuat persiapan Hari Raya,” ujarnya.