Henti budaya fitnah, kafir-mengkafir - Menteri Agama

Iklan
Mohd Naim (tengah) bersama sembilan penerima Anugerah Tokoh Mithali terdiri daripada imam, guru takmir dan guru KAFA pada program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Zon Timur sempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota Pahang sempena Maal Hijrah 1447 Hijrah di Masjid Beserah pada Sabtu.

KUANTAN - Masyarakat tidak sepatutnya terus dimomokkan dengan agenda sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah, adu domba dan lebih ekstrem sehingga ke tahap kafir-mengkafir sesama umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sudah tiba masanya masyarakat menghentikan perbalahan yang hanya merugikan agama dan negara.

Iklan
Iklan

“Cukuplah masyarakat kita berantakan dan bergaduh sesama sendiri, ia amat merugikan agama dan negara.

“Segala kesumat kebencian perlu dileraikan dengan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang.

Iklan

"Marilah kita bertekad bersama-sama membangunkan negara berasaskan nilai Islam serta nilai peradaban yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) Zon Timur sempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota Pahang bersempena Maal Hijrah 1447 Hijrah di Masjid Beserah di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada majlis sama, sembilan penerima Anugerah Tokoh Mithali terdiri daripada imam, guru takmir dan guru KAFA turut diumumkan.

Setiap penerima menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Mohd Na’im berkata, keamanan dan keharmonian bermasyarakat menjadi pasak penting kepada kestabilan sesebuah negara.

Jelas beliau, Maqasid Syariah meletakkan lima teras utama iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, namun ia tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa wujudnya persekitaran masyarakat yang sejahtera.

“Dalam erti kata lain, keamanan dan keharmonian adalah pra-syarat untuk mencapai Maqasid Syariah itu sendiri.

“Oleh yang demikian, membina keamanan dan keharmonian masyarakat serta negara perlu menjadi agenda penting demi maslahah masyarakat dan negara.

“Isu ini amat penting untuk diangkat sebagai topik utama yang perlu dibawa oleh para murabbi ummah dalam masyarakat.

“Ashabul Fadhilah, tuan-tuan dan puan-puan selaku murabbi ummah perlu menjadi penyuluh dan penyatu kepada masyarakat Islam khususnya di negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyalurkan peruntukan sebanyak RM242.57 juta kepada 21,086 penerima di Pahang, Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.

Katanya, peruntukan itu termasuk imbuhan bulanan imam, elaun guru takmir dan KAFA, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 secara sekali bayar serta BKK Aidilfitri.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjaga kebajikan para murabbi ummah dan memperkukuh syiar Islam di negara ini,” katanya.