KUALA LUMPUR - Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan Karnival Rasa Asli Desa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang diadakan di pekarangan parkir Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju, di sini bermula 27 hingga 30 Jun ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, karnival yang menghimpunkan 60 produk dan hidangan autentik diusahakan 28 usahawan dari 14 negeri itu mampu meraih jualan lebih RM200,000 selama empat hari penganjuran.
Menurutnya, ia merupakan salah satu inisiatif RISDA untuk memperkenalkan produk dan identiti usahawan desa secara langsung khususnya kepada masyarakat di bandar.
"Saya menjangkakan nilai jualan mungkin melebihi RM200,000 walaupun ia merupakan karnival pertama seumpama ini yang dilaksanakan oleh RISDA.
"Malah, ada juga usahawan yang berkongsi bahawa pendapatan mereka mampu mencapai RM1,000 hingga RM2,000 sehari, lebih-lebih lagi apabila ada penganjuran karnival seperti ini dan insya-ALLAH untuk siri seterusnya kita akan buat lebih besar.
"Ini mencerminkan usaha RISDA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkasa komuniti desa seiring dengan cetusan Aspirasi Desa Madani, bagi meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar melalui pengukuhan ekonomi desa," katanya selepas merasmikan karnival berkenaan pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Untuk rekod, karnival tersebut membawa pendekatan moden dan kreatif dalam mempersembahkan keaslian rasa makanan desa dengan mengangkat tema 'Rasa Tulen, Sentuhan Istimewa'.
Antara sajian menarik dihidangkan kepada pengunjung di karnival berkenaan termasuk rendang maman, nasi goreng ikan terubuk masin, kelupis inti udang, pekasam ikan loma, pek nga, gulai temenung, burasak dan kuih-muih tradisional.
Selain itu, ia turut menampilkan pelbagai produk seperti makanan dan minuman tradisional 'ready to eat', 'drink and cook', sejuk beku dan kering serta barangan RissMart 24 dan RissMart Butchery.
Mengulas lanjut, Rubiah berkata, penganjuran karnival itu bukan sahaja memberi nilai tambah dari segi pemasaran dan jualan, namun turut menyediakan ruang sebenar bagi memperkukuhkan jenama, pemadanan perniagaan serta pembangunan jaringan pasaran untuk usahawan desa dalam karnival anjuran KKDW serta agensi berkaitan.
Bantuan RISDA lonjak pendapatan usahawan desa
KUALA LUMPUR- Seorang anak usahawan dari Negeri Sembilan, Siti Zhafrina Izrin Zul, 24, berkata, bantuan strategik dan bersasar daripada RISDA bukan sahaja membuka peluang perniagaan, namun turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan berskala besar yang berdaya saing.
Beliau berkata, perniagaan berasaskan sayur maman yang diusahakan ibunya, Rosnah Abdullah, 57, sejak 2015 kini memiliki dua cawangan restoran dan produk turut dipasarkan ke seluruh negara iaitu hasil bantuan lebih RM50,000 daripada RISDA.
"Kami bermula dari rumah dan jual di pasar tani, sekarang kami ada produk 'retort' iaitu rendang dan jeruk maman yang boleh tahan hingga setahun yang turut diedarkan ke seluruh Malaysia melalui pos dan agen.
"Pelbagai bantuan telah diberikan RISDA termasuk peralatan seperti peti sejuk beku, mesin serta banyak lagi dan yang terkini bantuan bernilai RM31,000 digunakan untuk membina bengkel bagi mendapatkan pensijilan halal.
Ujar Siti Zhafrina Izrin, mereka kini turut mampu meraih pendapatan sehingga RM15,000 sebulan hasil pengembangan perniagaan dan produk berkenaan.
Sementara itu, usahawan dari Sabah, Noor Azlina Saramali, 35, mengakui bahawa pelbagai peralatan yang dibekalkan oleh RISDA menjadi titik perubahan dalam skala pengeluaran produknya iaitu kelupis.
"Sebelum dapat bantuan, saya hanya mampu meraih pendapatan dalam RM800 ke RM1,000 sebulan kerana pengeluaran terpaksa dihadkan disebabkan kekangan peralatan tetapi kini semakin banyak tempahan yang diperolehi dan pendapatan pula meningkat sehingga RM6,500 sebulan.
"Saya kini juga mampu pasarkan produk kelupis yang dibuat dalam bentuk sejuk beku serta siap dimasak sehingga ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau termasuk beberapa tempat di Semenanjung.
"Bukan semua mengenali kelupis, jadi melalui karnival ini saya melihat peluang saya untuk memasarkan produk saya agar lebih dikenali terutamanya oleh masyarakat di Semenanjung," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi usahawan dari Sarawak yang mengusahakan produk kek lapis, Mohd Afendi Mohd Zain, 35, berkata, bantuan dan bimbingan RISDA membuktikan usahawan mampu melonjakkan perniagaan kecil menjadi sumber pendapatan yang stabil serta menembusi pasaran luar dengan produk unik warisan tempatan.
"Pelbagai bantuan yang diperoleh dalam bentuk barangan bernilai RM20,000 yang membolehkan saya mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, malah turut memberi impak besar terhadap kelancaran pengeluaran kek lapis saya.
"Alhamdulillah, produk mendapat sambutan yang amat menggalakkan termasuk dari pelancong luar negara, pendapatan saya juga meningkat kepada lebih RM3,000 sebulan," ulasnya.