Tunggang ATV redah sawah, pantai tarikan baharu Sekinchan

Iklan
Pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman menunggang ATV dan bergambar di beberapa lokasi menarik di sekitar Sekinchan.

SABAK BERNAM - Sekinchan, sebuah destinasi pelancongan terkenal di pesisir pantai Selangor sudah sinonim dengan pemandangan sawah padi menghijau, deruan angin Pantai Redang dan deretan restoran makanan laut yang menggamit selera.

Selama ini, pengunjung ke kawasan itu hanya berpeluang meneroka keindahan Sekinchan dengan menaiki trem pelancongan, berbasikal atau memandu sendiri kenderaan persendirian.

Iklan
Iklan

Kini, pelancong boleh memilih untuk menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) untuk meronda di laluan kampung, sawah dan pesisir pantai menjadikan pengalaman agro pelancongan di Sekinchan lebih unik dan menyeronokkan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada dana Projek Sejati Madani, dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit 7 Baroh.

Iklan

Sebanyak 11 ATV dibeli hasil daripada peruntukan RM100,000 yang turut merangkumi kerja baik pulih bangunan dan penyelenggaraan.

Pengerusi JPKK, Rojikin Sarbini berkata, projek itu bertujuan menjana pendapatan kampung selain mengukuhkan sektor pelancongan tempatan.

Iklan

“Kita tawarkan kadar sewaan ATV RM30 sejam dan ia boleh digunakan pelancong untuk lawatan ke sawah, ladang buah-buahan dan kawasan kampung.

“Malah, pelajar yang datang untuk lawatan pertanian pun boleh gunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Rojikin (dua dari kiri) berharap aktiviti menunggang ATV dapat menjana pendapatan kampung selain mengukuhkan sektor pelancongan tempatan.

Menerusi pakej itu, Rojikin memberitahu, pelawat boleh menyusuri laluan sepanjang tiga hingga lima kilometer untuk menikmati keindahan alam.

“Dengan menunggang ATV mereka lebih bebas dan teruja, malah beberapa pengusaha inap desa berdekatan mula menyewa satu atau dua unit untuk kegunaan tetamu yang menginap,” jelasnya.

Walaupun menawarkan keseronokan, Rojikin menegaskan, pihaknya amat menekankan aspek keselamatan.

“Penunggang perlu memakai topi keledar, menghadiri taklimat sebelum menaiki ATV dan tidak dibenarkan memandu di jalan utama, kecuali untuk melintas laluan sahaja.

“Kiita akan pantau dan beri panduan keselamatan supaya pengguna mematuhi peraturan. Sekiranya sambutan memberangsangkan, kami bercadang menambah lagi unit ATV, membina hentian rehat di Sungai Leman dan mewujudkan lebih banyak laluan agro pelancongan di sekitar kampung,” jelas Rojikin.

Selain keunikan landskapnya, Sekinchan juga dikenali dengan ‘bau’ tersendiri oleh penduduk setempat.

Ujar beliau, bau baja ikan di Sekinchan kini menjadi identiti desa yang sudah tidak asing lagi bagi pelancong.

“Pelancong tak kisah dengan bau itu kerana mereka tahu inilah suasana sebenar kampung dan ia jadi sebahagian daripada daya tarikan,” katanya.

Menurut Rojikin, tidak lengkap ke Sekinchan tanpa singgah ke Pantai Redang yang menjadi lokasi santai popular untuk bergambar, menikmati matahari terbenam atau mencuba pelbagai juadah jalanan.

Dengan lebih lima inap desa beroperasi sekitar Kampung Parit 7 Baroh, Rojikin memberitahu, pelancong kini boleh merancang percutian hujung minggu yang padat dengan aktiviti.

“Mereka bukan sahaja dapat menyusuri sawah dengan ATV, malah turut berpeluang berkelah di pantai dan menikmati hidangan laut yang segar,” tambahnya.