PASIR MAS – Kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu disifatkan sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam sebarang bentuk perlakuan buli dan memaklumkan bahawa enam pelajar terbabit telah dibuang serta-merta selepas siasatan dalaman mendapati kesalahan itu benar-benar berlaku.
“Siasatan awal dijalankan sejurus kejadian dimaklumkan pada Selasa lalu dan enam pelajar terbabit terus digantung sebelum dibuang selepas keputusan siasatan diperoleh.
“Saya sudah berkali-kali menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan segala perlakuan buli. Prinsip kami jelas, ‘you touch, you go’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang 2025 di Lubok Jong di sini, pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di Asrama Putera sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.
Asyraf turut mengakui insiden tersebut memberi tamparan kepada usaha pencegahan buli yang selama ini dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Mara.
Beliau berkata, program pencegahan seperti sesi aku janji, pencerahan, motivasi dan kaunseling telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan kerjasama semua kaunselor MRSM.
“Secara umumnya, kes buli di MRSM memang semakin menurun, malah kita jarang dengar lagi kes sebegini yang melibatkan siasatan polis.
“Tetapi apabila berlaku juga insiden seperti ini, ia amat mengecewakan saya. Justeru, kami perlu lebih tegas dan objektif saya adalah sifar buli,” katanya.
Tambah beliau, siasatan dalaman Mara kini selesai sepenuhnya dan kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut mengikut bidang kuasa mereka.
“Tidak kira apa pun alasan, perbuatan fizikal yang menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima. Tidak perlu ketuk pintu saya untuk minta rayuan,” tegasnya.
Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa diarahkan mencangkung sambil meletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, sebelum ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka oleh beberapa pelajar Tingkatan Tiga.
Kejadian itu kemudian disedari oleh warden yang membawa semua pelajar terlibat ke pejabat untuk tindakan lanjut.
Lima pelajar berusia 15 hingga 17 tahun terbabit direman tiga hari di Mahkamah Kuala Terengganu bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes buli pelajar Tingkatan Dua berkenaan.