NIBONG TEBAL - Enam nelayan dari kawasan selatan Pulau Pinang menarik nafas lega apabila menerima bot dan enjin baharu menerusi Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).
Pemberian itu memberi peluang kepada mereka untuk kembali ke laut selepas bergelut dengan pelbagai kesukaran akibat kerosakan bot.
Antara penerima ialah Hashimi Hamzah, 50, dari unit Sungai Batu yang kehilangan botnya dalam kejadian ribut kira-kira enam bulan lalu.
Menjelang ulang tahun kelahirannya yang ke-50 pada 3 Julai ini, Hashimi menyifatkan pemberian itu sebagai hadiah yang sangat bermakna.
“Saya tidak sangka akan dapat bot baharu. Selama ini hanya menumpang bot orang lain untuk cari rezeki.
"Kini saya boleh turun sendiri semula,” katanya yang sudah lebih dua dekad menjadi nelayan.
Turut menerima manfaat ialah Hamdan Bakar, 59, dari Teluk Kumbar yang telah bergantung sepenuhnya kepada laut sejak berhenti sekolah pada usia muda.
Beliau berkata, bantuan itu membolehkannya bekerja semula dengan lebih yakin dan selesa.
“Saya tidak pernah mimpi pun akan dapat bot seperti ini. Kalau beli sendiri, memang tidak mampu,” katanya.
Empat lagi penerima ialah See Bak Chooi, 65, Lai Poh Liang, 64, Mohd Fitri Che Ros, 46, dan Muhammad Hidayat Che Ros, 36.
Kesemua mereka sebelum ini berdepan kesukaran akibat kerosakan bot lama, namun kini kembali bersedia menyambung pekerjaan sebagai nelayan sepenuh masa.
Nelayan veteran Bak Chooi dari Gertak Sanggul menyifatkan bantuan itu umpama menukar kereta baharu.
"Saya yakin bahawa pembangunan negeri seperti projek Pulau Silikon boleh bergerak seiring dengan kelestarian dan kesejahteraan nelayan," katanya.
Majlis penyerahan bot berkenaan disaksikan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Silicon Island Development Sdn Bhd (SIDSB), Azmi Mohamad dan wakil Jabatan Perikanan Pulau Pinang.
Sebelum ini, seramai 13 nelayan berjaya menamatkan Kursus Enjin Sangkut selama tiga hari yang memberikan kemahiran penting berkaitan penyelenggaraan enjin di laut.
Kursus itu dianjurkan dengan kerjasama Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Berhad dan Jabatan Perikanan negeri.
Menurut mereka, latihan itu sangat bermanfaat dan berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu komuniti nelayan tempatan.