UP_TVET terima lebih 189,000 permohonan bagi pengambilan Julai

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Bersama Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil 1/2025 di Sunway Resort, pada Khamis. Turut sama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar. Foto Bernama

PETALING JAYA - Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) menerima sebanyak 189,304 permohonan untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara bagi pengambilan Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 146,000 permohonan pada pengambilan sebelumnya, sekali gus mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar terhadap bidang TVET.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, UP_TVET juga sedang menyelaras penempatan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam.

"Bagi pelajar STPM yang tidak berjaya memasuki universiti, kita ingin menawarkan peluang di institusi di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN), khususnya enam universiti termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk mengikuti kursus-kursus yang sesuai dan diminati,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad Zahid, peluang tersebut terbuka kepada semua kaum bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional yang kini mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja.

Iklan

"UniKL akan menawarkan kursus-kursus teknikal, manakala UPTM memberi tumpuan kepada kursus profesional,” katanya.

Pada mesyuarat sama, beliau turut melancarkan Program Desa Kirana yang memfokuskan kepada usaha memperkukuh ekosistem dan promosi produk pelancongan desa sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dua lokasi terpilih bagi pelaksanaan awal program itu tahun ini ialah Kampung Lonek di Negeri Sembilan dan Kampung Tanjung Surat di Johor, manakala 18 lagi lokasi sedang dikenal pasti.

Program Desa Kirana merupakan inisiatif baharu yang dirancang oleh Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK), KKDW, yang mempakejkan tarikan pelancongan sedia ada di kawasan luar bandar sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa, termasuk golongan ‘digital nomad’ yang ingin menetap secara sementara di lokasi-lokasi berkenaan.

Melalui pelaksanaan menyeluruh serta kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti tempatan, kerajaan dan sektor swasta, program itu bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi luar bandar serta memperkenalkan keunikan kampung di Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Ia turut disokong melalui penyediaan latihan, penggunaan fasiliti sedia ada seperti Pusat Komuniti Desa (PKD) dan NADI, serta platform digital seperti Desamall bagi tujuan promosi dan tempahan.

Pelaksanaan program ini turut disokong melalui latihan, penggunaan fasiliti sedia ada seperti Pusat Komuniti Desa (PKD) dan NADI, serta platform digital seperti Desamall bagi tujuan promosi dan tempahan. - Bernama