Muhammad Nur murabbi umat sejati - ABIM

Iklan
Allahyarham Muhammad Nur dikenang sebagai murabbi umat sejati.

SHAH ALAM – Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dikenang sebagai murabbi umat sejati yang teguh pada prinsip, tenang dalam tindakan, penuh hikmah dalam menyantuni perbezaan dan bijaksana dalam memandu generasi.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Allahyarham merupakan seorang tokoh dakwah, sarjana Islam dan pemikir ummah yang mewakafkan hampir seluruh hidupnya dalam perjuangan mendidik umat, menyebarkan ilmu serta memperjuangkan nilai keadilan sejagat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembabitan Allahyarham dalam lapangan dakwah dan gerakan Islam bermula seawal zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila beliau diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada awal 1970-an.

Ahmad Fahmi

Iklan

"Kepemimpinannya terus bersinar apabila beliau dilantik sebagai Presiden ABIM dari tahun 1991 hingga 1997.

"Ketika menjawat jawatan tersebut, Almarhum telah mengemudi ABIM dalam fasa penting transisi, memperkukuh peranan ABIM sebagai rakan dalam pembinaan negara, di samping membawa suara ke pentas antarabangsa termasuk membela isu-isu umat Islam seperti di Bosnia dan Afghanistan.

Iklan

"Di bawah pimpinannya, ABIM memperkukuh pendekatan dakwah, membina jaringan diplomasi masyarakat madani serta memperluas kerjasama antara agama dan budaya. Ia selaras dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Ahmad Fahmi, sehingga ke akhir hayat, walaupun diuji dengan keadaan kesihatan yang mencabar, Allahyarham tetap sedaya upaya menyempurnakan amanahnya sebagai Pengerusi IKIM.

Jelasnya, beliau komited memastikan IKIM berperanan sebagai badan rujukan utama dalam dakwah, pemikiran dan kefahaman Islam, selari dengan keperluan zaman.

"Sebagai penulis dan pengkarya, beliau meninggalkan warisan berharga dalam bentuk karya seperti Islam dan Demokrasi, Polemik Kalimah Allah, Islam, Politik dan Kesederhanaan serta karya memoirnya yang penuh makna, Jejak-Jejak Pencerahan Umat.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat ABIM, PKPIM, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) serta seluruh umat Islam di tanah air.

"Dalam era krisis adab dan kekeliruan fikrah, Almarhum tampil sebagai penyuluh jalan, menggabungkan ilmu, akhlak dan perjuangan dalam satu kesatuan yang tuntas dan mencerahkan," ujarnya.