KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan bahawa sebarang langkah untuk membawa pulang lebih 200 pelajar negeri itu yang sedang menuntut di Jordan dan sebilangan kecil di Iran hanya akan dilakukan setelah menerima arahan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, buat masa ini semua pelajar Kelantan dilaporkan selamat dan masih meneruskan pengajian seperti biasa walaupun terdapat penutupan ruang udara di beberapa lokasi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
“Kerajaan negeri mengikut sepenuhnya keputusan Persekutuan.
“Kalau Putrajaya arahkan bawa balik, kami sedia bantu, seperti mana kami pernah buat ketika krisis Timur Tengah dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) 2024 di Kompleks Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong di sini, pada Khamis.
Menurutnya, selain Jordan, antara negara yang menempatkan pelajar Kelantan ialah 30 pelajar di Madinah, lebih 20 pelajar di Riyadh dan empat hingga lima pelajar di Makkah manakala lebih ramai berada di Mesir.
“Di Jordan tiada masalah keselamatan, cuma ruang udara ditutup kerana negara itu terletak di antara Iran dan Israel.
“Mana-mana pelajar yang berada di luar juga tidak dapat pulang semula ke Jordan kerana sekatan udara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembelajaran pelajar tidak tergendala dan pihaknya berhubung secara langsung dengan pegawai kementerian di negara-negara terbabit.
“Pelajar kita masih boleh meneruskan pengajian.
“Semua selamat, cuma ada kekangan logistik seperti laluan keluar-masuk,” katanya.
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang semakin meruncing sejak April lalu susulan serangan balas antara Iran dan Israel turut menjejaskan laluan penerbangan komersial di rantau itu, termasuk ke Jordan, Iraq dan Arab Saudi.
Beberapa negara menutup ruang udara masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga, manakala syarikat penerbangan utama mengubah laluan bagi mengelakkan kawasan konflik.