PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memainkan peranan penting dalam usaha memperkukuh sistem pengedaran input bersubsidi melalui pelantikan stokis daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.
Langkah ini secara tidak langsung membantu memastikan pelaksanaan program bantuan kerajaan kepada pesawah berjalan lebih lancar, teratur dan sampai kepada golongan sasar mengikut jadual ditetapkan.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohd Zulkifli Harun berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan 195 stokis lantikan NAFAS dari PPK di seluruh negara yang disifatkan cekap, sistematik dan berjaya melaksanakan tugas agihan input bersubsidi dengan lancar, mengikut jadual serta sistem yang ditetapkan.
“Urusan pembekalan bagi separuh pertama tahun depan berjalan lancar seperti dirancang dan dilaksanakan oleh NAFAS. Keupayaan agensi ini bukan sahaja terbukti melalui pengalaman bertahun-tahun, malah ia kekal relevan dalam memastikan keperluan ahli peladang terus dibela dan diberi keutamaan,” katanya.
“NAFAS masih boleh terus diberi kepercayaan untuk melaksanakan agihan input bersubsidi berdasarkan keupayaan mereka yang telah dibuktikan sebelum ini. Pada masa sama, pelaksanaan secara tender terbuka yang dilaksanakan secara berperingkat turut membuka ruang kepada persaingan sihat serta memastikan kualiti dan nilai terbaik.
“Langkah ini tidak akan menjejaskan peladang kerana semua perancangan mengambil kira keperluan dan jadual penyaluran bekalan yang telah ditetapkan. Sekiranya NAFAS menawarkan perkhidmatan dan nilai terbaik, mereka tetap berpeluang dipilih. Ini merupakan ruang untuk memperkukuh daya saing dan membuktikan keupayaan sebenar mereka.
“Peruntukan yang dilaksanakan secara rundingan terus, yang meliputi sekitar 80 peratus daripada keseluruhan agihan, dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pemantapan dan Pengukuhan Stokis SBPKP dan SIPP Zon Tengah di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar NAFAS, Noor Azizah Abdul Aziz, Pengarah-pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri dari Zon Tengah yang merangkumi negeri Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan serta wakil-wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), terutamanya dari segi pengurusan stok dan agihan agar lebih sistematik dan menyeluruh.
“Penambahbaikan ini penting untuk memastikan semua input sampai kepada pesawah secara telus, ikut jadual dan berdasarkan keperluan sebenar,” katanya.
RM2.4 bilion diperuntuk bantu pesawah
Mohd Zulkifli turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM2.4 bilion setakat ini dalam bentuk pelbagai bantuan dan subsidi kepada pesawah, termasuk bantuan tunai langsung, subsidi baja dan input pertanian.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Sub-Centre PPK Parit, Norfadilah Mat Zaini berkata, NAFAS banyak membantu pesawah di kawasannya mendapatkan bekalan baja, benih padi, racun dan input pertanian lain.
“NAFAS juga aktif menganjurkan program dalaman serta latihan secara berterusan bagi meningkatkan pengetahuan kami di PPK dan juga para pesawah yang merangkumi aspek teknikal, pengurusan input pertanian dan pemantapan operasi di peringkat lapangan,”” katanya.
Bagi Pengurus Besar PPK Merlimau, Melaka, Mohd Shukri Abd Razak pula, pembangunan pangkalan data NAFAS serta sistem e-Padi sangat membantu mempercepat dan memudahkan proses pengagihan bantuan kepada petani tanpa perlu permohonan secara manual.
“Kewujudan sistem ini membolehkan agihan dilakukan lebih tepat, telus dan sistematik,” ujarnya.