Tragedi Air India: 'Saya harap saya mati'

Iklan
Vishwash dikenali sebagai seorang yang ramah menyambut wartawan The Sun, Robin Perrie di berandanya di kampung halaman mereka di Diu, India, selepas pulang dari hospital susulan tragedi nahas pesawat Air India. Foto Agensi

DIU– [DIKEMAS KINI] “Ia satu keajaiban saya masih hidup,” Luah Vishwash Ramesh, 35, satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang meragut 280 nyawa minggu lalu.

Namun, di sebalik keajaiban itu, Vishwash mengakui dia kini dibelenggu rasa bersalah sepanjang hayat kerana tidak dapat menyelamatkan abangnya, Ajaykumar Ramesh, 40, yang turut berada dalam pesawat berkenaan.

Iklan
Iklan

Vishwash (kiri) dan abangnya, Ajaykumar Ramesh, 35, berada di India bagi urusan perniagaan sebelum menaiki pesawat malang Air India Penerbangan 171. Agensi

Vishwash berkata, dia telah berusaha mendapatkan dua tempat duduk bersebelahan di baris 11, berhampiran pintu kecemasan, namun hanya satu tempat yang kosong.

Iklan

Dia duduk di tempat 11A, manakala Ajay berada di seberang laluan, di tempat 11J, kedudukan yang ternyata membawa perbezaan antara hidup dan mati.

“Saya mencuba untuk duduk bersama Ajay, tapi tempatnya telah diambil. Kalau kami duduk bersama, mungkin kami berdua terselamat,” katanya sebak.

Iklan

Dalam insiden tragik itu, Vishwash berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui lubang pada badan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang sudah remuk. Dia antara ratusan penumpang dan anak kapal yang menaiki Penerbangan AI 171 dari Ahmedabad ke London apabila pesawat itu terhempas sejurus berlepas, pada 12 Jun lalu.

Menceritakan detik cemas itu, Vishwash berkata, pesawat tidak berjaya meningkat ketinggian, lampu mula berkelip dan terasa seperti tersangkut. Beberapa saat kemudian, ia meluncur laju sebelum menghentam sebuah bangunan dan meletup.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, melawat lokasi nahas pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad pada 13 Jun 2025. AFP

“Saya nampak semuanya di depan mata. Saya sangka saya akan mati... tetapi apabila saya buka mata, saya sedar saya masih hidup,” katanya.

Vishwash membuka tali pinggang keselamatan dan menyedari hampir semua orang di sekelilingnya telah mati atau sedang nazak. Dia menendang serpihan badan pesawat untuk mencari ruang keluar.

“Saya masih tak faham bagaimana saya boleh terselamat,” katanya yang sempat keluar dari bangkai pesawat sebelum ia diselubungi api yang turut menjilat asrama berhampiran yang menempatkan lebih 100 pelajar perubatan dan kakitangan.

Lebih memilukan, Vishwash cuba masuk semula ke dalam pesawat untuk mencari Ajay, tetapi dihalang oleh pasukan penyelamat yang kemudian membawanya ke hospital.

Dia dirawat selama lima hari di Hospital Awam berhampiran lokasi kejadian dan menerima kunjungan khas daripada Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Pada hari Selasa lalu, Vishwash pulang ke kampung halamannya di Diu, di mana dia kini berehat bersama ibu bapanya, Bava dan Manibhai, isterinya Hiral dan anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.

Vishwash tiba semula di rumah keluarganya pada hari Selasa dan dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya selepas dibenarkan keluar dari hospital susulan insiden nahas pesawat Air India. Agensi

“Saya rasa saya tak patut hidup,” katanya kepada rakan-rakan dengan nada penuh kesedihan.

Keluarga Vishwash memiliki perniagaan dua buah bot nelayan di Diu warisan daripada ayah mereka. Setiap kali musim tengkujuh bermula pada bulan Jun, operasi perikanan dihentikan, dan Vishwash serta Ajay akan pulang ke England, tempat mereka menetap di Leicester.

Ketika tragedi berlaku, mereka baru sahaja menaiki pesawat sekitar jam 1 petang, tidak sabar untuk bertemu semula dengan keluarga di UK.

Namun, Vishwash kini tinggal dengan luka jiwa yang dalam. Kampung halamannya turut berduka apabila 14 lagi penduduk tempatan turut terkorban dalam insiden sama. - Agensi