KUALA LUMPUR - Layanan berahi wanita warga asing disyaki berselindung di sebalik premis urut di sini diserbu pada Selasa.
Serbuan bermula jam 7 petang hasil maklumat dan risikan itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur ke atas dua premis masing-masing di Taman Maluri serta Taman Connaught.
Semasa serbuan, ada antara wanita asing yang sedang bersama pelanggan 'menggelupur' selepas menyedari serbuan penguatkuasa JIM, selain enggan beri kerjasama untuk membuka pintu.
Difahamkan, premis terbabit menawarkan beberapa pakej layanan wanita sehingga harga RM580.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi Op Gegar ke atas dua premis ini bertindak menahan 15 individu berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun hasil pemeriksaan 26 orang.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan terbabit, 13 ialah wanita warga asing disyaki pekerja di premis terbabit.
"Semakan dokumen mendapati wanita ini terdiri daripada tujuh Vietnam, Thailand (3 orang), Indonesia (2 orang) dan seorang Laos.
"Tangkapan selebihnya membabitkan lelaki berperanan sebagai penjaga premis dan kapten," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tegas beliau, kesemua wanita yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.