KPDN digesa semak semula amalan pembundaran dalam turus niaga tanpa tunai

Iklan
Sistem digital yang digunakan membolehkan pembayaran dilakukan dengan jumlah tepat tanpa sekatan teknikal. (Gambar kecil: Mohd Faiz)

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) digesa menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan amalan pembundaran dalam urus niaga tanpa tunai.

Naib Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Mohd Faiz Zulkifli mendakwa, amalan pembundaran harga barangan dalam transaksi tanpa tunai disifatkan tidak lagi relevan dalam era digital masa kini, malah dilihat merugikan pengguna meskipun hanya melibatkan perbezaan beberapa sen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang dikenakan bayaran RM49.90 untuk barangan bernilai RM49.87 kerana sistem pembundaran harga masih diguna pakai oleh peniaga terbabit.

"Isu pembundaran harga sepatutnya tidak timbul memandangkan pengguna telah membuat bayaran menggunakan dompet digital.

Iklan

"Sistem digital yang digunapakai membolehkan pembayaran dilakukan dengan jumlah tepat tanpa sekatan teknikal. Amalan ini sudah lapuk dan tidak wajar diteruskan terutama dalam transaksi secara elektronik.

"Walaupun hanya tiga sen, ia melibatkan hak pengguna. Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada 1,000 pelanggan sehari, peniaga boleh ‘mengutip’ hingga RM10,800 setahun tanpa disedari," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau menegaskan, setiap sen yang dibayar oleh pengguna adalah hak mutlak mereka dan amalan pembundaran secara menyeluruh bukan sahaja tidak adil malah membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

"Kami juga menyeru agar Bank Negara Malaysia (BNM) serta penyedia perkhidmatan e-dompet memainkan peranan lebih proaktif dengan menyediakan panduan khusus kepada peniaga agar tidak sewenang-wenangnya membundarkan harga," ujarnya.

Menurutnya, walaupun nilai itu nampak kecil, namun kesannya cukup besar apabila dilihat secara kumulatif di seluruh negara.

"Setiap transaksi adalah amanah. Sekecil mana pun jumlahnya, ia tetap wang hasil titik peluh pengguna yang perlu dihormati," jelas beliau.

Mohd Faiz berkata, pihaknya sentiasa bersedia menerima sebarang aduan berkaitan transaksi yang meragukan selain akan terus memperjuangkan hak pengguna dalam apa jua bentuk penindasan yang berlaku.

"Pengguna hari ini lebih celik dan berani bersuara. Kami di MTPN akan memastikan suara mereka didengar dan tindakan sewajarnya diambil. Jangan biarkan tiga sen menjadi simbol kepada kerugian besar yang tidak disedari.

"Peniaga juga perlu lebih telus dan beretika dalam menjalankan perniagaan selaras dengan prinsip perdagangan adil di era digital masa kini," ujarnya.