KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Terpengaruh dengan janji keuntungan berlipat kali ganda, seorang pekebun kecil kerugian sebanyak RM239,804 selepas menyertai pelaburan dalam talian.
Lelaki berusia 37 tahun yang menetap di Bentong mendakwa diperkenalkan kepada pelaburan tersebut oleh seorang individu melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian diberi pautan laman web sebagai platform untuk melabur.
“Suspek telah menjanjikan mangsa akan menerima keuntungan lumayan sekiranya melabur dalam pelaburan berkenaan.
“Mangsa kemudiannya membuat sebanyak 41 transaksi ke 19 akaun bank berbeza dari 22 Mac hingga 16 Jun lalu,” katanya pada Rabu.
Beliau memberitahu, sumber kewangan bagi pelaburan tersebut adalah daripada wang simpanan sendiri dan pinjaman yang diperoleh daripada abangnya.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas mendapati tiada sebarang pulangan diterima seperti yang dijanjikan oleh suspek.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan,” katanya.