Tindakan undang-undang terhadap Sinar Harian tidak wajar - Bersatu Hulu Langat

Iklan
Mohamad Shafiq Abdul Halim

SHAH ALAM – Tindakan keras pihak berkuasa terhadap portal berita Sinar Harian berhubung penyiaran laporan yang dikatakan tidak tepat disifatkan sebagai tidak wajar, memandangkan media berkenaan sudah mengambil langkah segera membetulkan kesilapan tersebut.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, Sinar Harian bukan sahaja memadamkan artikel asal mengandungi kesilapan fakta, malah turut menerbitkan permohonan maaf secara terbuka serta memperbetulkan fakta terbabit.

Iklan
Iklan

“Tindakan ini membuktikan kesilapan itu berlaku tanpa sebarang niat jahat (absence of malice), dan Sinar Harian telah mengambil tanggungjawab penuh selaras dengan prinsip etika kewartawanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, walaupun insiden itu membawa implikasi negatif, pihak yang patut dipertanggungjawabkan adalah mereka yang menyebarkan maklumat palsu secara sengaja dan bukan portal yang sudah tampil membuat pembetulan serta permohonan maaf.

Iklan

Beliau turut menggesa kerajaan agar mempertimbangkan pendekatan lebih berhemah dalam menangani kesalahan pertama oleh mana-mana media dengan hanya mengeluarkan notis amaran sebagai langkah pencegahan, tanpa terus mengambil tindakan undang-undang.

“Kami tidak menyokong sebarang bentuk kebebasan media yang melampaui batas hingga menyebarkan fitnah atau maklumat tidak tepat, namun penilaian perlu dibuat sama ada kesilapan berlaku secara teknikal dan tidak disengajakan,” ujarnya.

Iklan

Mohamad Shafiq berkata, prinsip keadilan dan profesionalisme dalam etika kewartawanan harus dijunjung, dan tindakan undang-undang sepatutnya hanya diambil apabila wujud unsur niat jahat yang jelas dalam laporan diterbitkan.