MELAKA - Ibu kandung dan bapa tiri dipercayai mendera anak perempuan mereka berusia sembilan tahun dan merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal hingga maut direman tujuh hari di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Perintah reman terhadap pasangan berusia 36 dan 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang baharu empat tahun mendirikan rumah tangga itu dan memakai baju lokap jingga tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis sebelum dibawa keluar dari Mahkamah sejam kemudian.
Dipercayai mangsa merupakan OKU yang tidak boleh berjalan dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik termasuk mempunyai seorang adik tiri berusia tiga tahun hasil perkahwinan baharu wanita itu bersama lelaki terbabit.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera oleh bapa tiri.
Menurut sumber, insiden yang menimpa kanak-kanak malang itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta sekitar jam 9.45 pagi.
“Difahamkan pihak hospital memaklumkan terdapat kesan yang disyaki akibat dera selepas mangsa dihantar oleh bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan di pusat perubatan berkenaan.
“Lebih menyedihkan, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan,” katanya.
Tambahnya, mangsa yang berada dalam keadaan parah dipercayai meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.